DOF teliti rayuan Thailand berhubung sekatan import udang

Gambar hiasan

MARANG, 21 Jun – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sedang meneliti maklum balas dan rayuan yang dikemukakan pihak berkuasa Thailand susulan sekatan import lima spesies udang dari negara itu yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekatan bertujuan menstruktur semula industri udang tempatan dan memperkukuh biosekuriti negara.
  • Tindakan diambil selepas Thailand tidak membenarkan kemasukan udang Malaysia sejak 2017 atas alasan biosekuriti.
  • Malaysia menghantar borang soal selidik kepada pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan maklumat biosekuriti terperinci.
  • Syarat tambahan dikenakan untuk import ikan siakap: setiap kemasukan mesti disertakan Sijil Analisis Makmal.

Ketua Pengarah DOF, Datuk Adnan Hussain berkata sekatan itu bertujuan menstruktur semula industri udang tempatan dan memperkukuh biosekuriti negara.

Beliau berkata, langkah berkenaan juga diambil selepas mengambil kira tindakan Thailand yang tidak membenarkan kemasukan udang dari Malaysia ke negara itu sejak 2017 atas alasan biosekuriti.

“Kita juga mengalami situasi yang sama apabila udang dari negara kita tidak boleh dieksport ke Thailand sejak 2017.

“Atas faktor biosekuriti, kita mengambil langkah untuk menilai semula keadaan semasa dan menstrukturkan industri tempatan bermula 1 Jun lalu,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurut beliau, Malaysia telah mengemukakan borang soal selidik kepada pihak berkuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan aspek biosekuriti.

Katanya, Malaysia mengimport kira-kira 11,000 tan metrik udang dari Thailand setiap tahun.

Manakala eksport udang Malaysia ke negara itu hanya sekitar 3,000 tan metrik yang kebanyakannya terdiri daripada hasil tangkapan laut.

Dalam perkembangan sama, Malaysia turut mengenakan syarat tambahan terhadap import ikan siakap dari Thailand yang mewajibkan setiap kemasukan disertakan dengan Sijil Analisis Makmal.

Beliau berkata, sijil tersebut diperlukan bagi mengesahkan ikan yang diimport bebas daripada penyakit serta bahan kimia terlarang.

“DOF berharap isu ini dapat diselesaikan secara baik menerusi kerjasama erat antara Malaysia dan Thailand demi kepentingan industri perikanan kedua-dua negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.