
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Penyelarasan semula semua inisiatif, usaha dan bantuan kerajaan seperti diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan sebagai langkah penting bagi memastikan golongan miskin dan rentan tidak tercicir ketika tekanan krisis global terus memberi kesan kepada kenaikan harga barangan harian.
- Pentingnya penyelarasan antara kementerian untuk elak pertindihan bantuan dan ketirisan dasar.
- Pastikan bantuan sampai cepat, telus dan tepat kepada kumpulan sasar untuk keberkesanan.
- Komunikasi jelas dan konsisten supaya rakyat faham cara mengakses setiap inisiatif bantuan.
- Gabungan bantuan tunai bersasar, kawalan harga barang asas dan jaminan bekalan diperlukan demi kesejahteraan.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Ima Liana Esa berkata, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, keberkesanan bantuan bukan hanya bergantung kepada jumlah yang disalurkan, sebaliknya perlu dipastikan sampai secara cepat, telus dan tepat kepada kumpulan sasar.
Menurut beliau, cabaran semasa bukan sekadar peningkatan kos sara hidup, malah turut melibatkan gangguan rantaian bekalan global yang memberi kesan langsung terhadap harga makanan, logistik serta operasi perniagaan kecil.
“Penyelarasan antara kementerian amat penting supaya tidak berlaku pertindihan bantuan atau ketirisan dasar.
“Ketika rakyat berdepan tekanan harga barang, bantuan yang tersusun dan berfokus amat diperlukan bagi memastikan setiap inisiatif benar-benar memberi kesan,” katanya.
Semalam, Datuk Seri Anwar mengarahkan setiap kementerian menyelaraskan semula segala usaha dan bantuan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan tiada rakyat tercicir, khususnya golongan miskin dan rentan.
Mengulas lanjut, Dr. Ima Liana berkata kerajaan juga perlu memastikan komunikasi berkaitan bantuan disampaikan secara jelas dan konsisten supaya rakyat memahami kaedah untuk mengakses setiap inisiatif yang disediakan.
“Bantuan mungkin wujud, tetapi jika rakyat kurang faham bagaimana untuk mendapatkannya, keberkesanannya akan terjejas. Dalam komunikasi krisis, keyakinan rakyat bergantung kepada ketelusan maklumat dan tindakan yang pantas,” katanya.
Beliau berkata, rakyat ketika ini memerlukan gabungan tiga elemen utama iaitu bantuan tunai bersasar, kawalan harga barangan asas serta jaminan bekalan makanan dan keperluan harian.
Katanya, bantuan tunai penting bagi memberi kelegaan segera, namun tanpa kawalan harga dan pemantauan pasaran yang kukuh, tekanan kos sara hidup akan terus dirasai rakyat.
“Barangan asas seperti beras, minyak masak dan telur perlu dipantau rapi, manakala jaminan bekalan penting bagi memastikan rakyat bukan sahaja tidak berdepan isu kenaikan harga, tetapi juga kekurangan bekalan.
“Pendekatan paling berkesan ialah dasar seimbang yang menggabungkan bantuan kewangan, kestabilan harga dan jaminan bekalan demi menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya.