Ekonomi Malaysia di landasan terbaik capai sasaran 2026

Penganalisis Ekonomi Unikl Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026 menunjukkan ekonomi negara masih berada pada landasan baik untuk mencapai unjuran pertumbuhan antara empat hingga lima peratus tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan cabaran geopolitik luar seperti konflik di Asia Barat.
  • Pertumbuhan disokong oleh perbelanjaan isi rumah, kemasukan pelancong asing dan aktiviti perayaan.
  • Eksport E&E dan semikonduktor kukuh susulan permintaan AI; namun risiko kenaikan harga minyak dan inflasi boleh melambatkan pertumbuhan.

Penganalisis Ekonomi Unikl Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi itu menunjukkan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, meskipun berdepan cabaran geopolitik luar termasuk konflik berterusan di Asia Barat.

Asas itu disokong oleh prestasi Malaysia yang masih antara tertinggi di Asia Tenggara, selain momentum eksport yang terus menerima permintaan, kesan positif harga minyak dunia dan peningkatan dalam ketibaan pelancong asing.

“Peningkatan harga minyak dunia turut memberi kesan positif kepada Petronas sebagai antara pengeksport utama minyak di rantau ini.

“Pada masa sama, kehadiran pelancong asing juga dijangka berterusan sepanjang 2026, susulan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang telah menyumbang kepada pertambahan ketibaan pelancong luar yang tinggi sejak suku pertama tahun ini,” katanya.

Tambah beliau, ekonomi domestik terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh perbelanjaan isi rumah, kemasukan pelancong asing serta aktiviti perayaan.

Sektor eksport pula terus dipacu oleh permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik, khususnya semikonduktor serta cip mikro, sejajar dengan peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di peringkat global.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan pertumbuhan KDNK berkemungkinan lebih perlahan pada suku kedua dan seterusnya, susulan kenaikan harga minyak serta risiko inflasi akibat konflik di Asia Barat.