
KUALA LUMPUR, 15 Mei – Malaysia perlu memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan kestabilan makroekonomi dalam menangani kejutan bekalan global akibat konflik di Asia Barat.
- Perkukuh kerjasama antara pihak untuk mengurus ekonomi melalui pelaksanaan yang lebih berkesan dan tersusun.
- Terus membina penampan ekonomi dan beri bantuan bersasar kepada segmen atau sektor yang terjejas.
- Kerajaan pastikan bekalan mencukupi, dan perbankan sediakan sokongan pembiayaan serta komunikasi berkesan kepada terjejas.
- Pendekatan OPR semasa wajar, dan MPC akan terus berwaspada menilai risiko inflasi serta prospek pertumbuhan domestik.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, semua pihak disaran memperkukuh kerjasama dalam menguruskan situasi ekonomi semasa menerusi pelaksanaan yang lebih berkesan dan tersusun.
“Kita tahu bahawa terdapat segmen tertentu yang mungkin lebih terkesan sedikit, namun bantuan sentiasa ada untuk menyokong segmen-segmen ini. Oleh itu, adalah sangat penting untuk memastikan bahawa kita terus mengekalkan dan terus membina penampan supaya negara dapat mengurus keadaan ini dengan baik.
“Kita menilai perkembangan ini secara menyeluruh dan pada masa yang sama, kita juga melihat apakah langkah bersasar yang perlu diberikan kepada sektor yang terjejas. Dengan cara itu, negara akan dapat mengekalkan unjuran pertumbuhan, bahkan lebih penting ialah kita semua memainkan peranan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Suku Pertama 2026 di sini, hari ini.
Datuk Seri Abdul Rasheed turut menjelaskan, kerajaan perlu memastikan bekalan kekal mencukupi serta terus menyalurkan bantuan kepada sektor yang terkesan, manakala institusi perbankan perlu memainkan peranan dengan menyediakan sokongan pembiayaan, di samping memastikan komunikasi yang lebih berkesan dengan pihak yang terjejas.
Mengulas mengenai kestabilan Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa, beliau berkata, pendirian dasar monetari berkenaan adalah wajar dan selaras dengan prospek kestabilan harga berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan terus berwaspada terhadap perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan domestik.
MPC BNM sebelum ini memutuskan untuk mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus pada mesyuarat ketiganya tahun ini, sekali gus mengekalkan paras semasa itu sejak Julai 2025.