
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memandang serius tindakan pihak tertentu yang mempergunakan nama sahabat Rasulullah S.A.W sebagai bahan sensasi.
- Menyifatkan sahabat Rasulullah sebagai tidak bermoral sebelum keislaman mereka adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan contoh buruk.
- Kandungan yang memperlekehkan tokoh agama boleh menormalisasikan penghinaan, mencairkan sensitiviti umat dan merosakkan nilai adab.
- Pempengaruh, pendakwah dan pencipta kandungan diseru membina masyarakat berilmu serta beradab; YADIM sedia bekerjasama mendidik dalam ruang digital.
Yang Di-Pertuanya, Datuk Dr. Hasan Bahrom berkata, fenomena memburu perhatian tanpa batas adab dan ilmu itu hanya akan melahirkan masyarakat yang semakin hilang rasa hormat terhadap institusi agama dan tokoh.
Menurut beliau, merujuk sahabat Rasullullah SAW sebagai tidak bermoral sebelum keislaman mereka adalah tindakan tidak bertanggungjawab malah mencerminkan contoh yang tidak baik daripada individu yang mengungkapkannya.
Beliau mengingatkan, kandungan yang memperlekehkan tokoh agama seperti itu dikhuatiri boleh menormalisasikan budaya penghinaan, mencairkan sensitiviti umat serta merosakkan nilai adab.
“Masyarakat juga perlu lebih matang dan tidak mudah terpedaya dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab sebegitu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas beliau lagi, pempengaruh media sosial, pendakwah dan pencipta kandungan diseru memainkan peranan membina masyarakat berilmu serta beradab.
YADIM bersedia bekerjasama dengan semua pihak untuk mendidik masyarakat, khususnya dalam ruang digital yang semakin berpengaruh.