Insiden letupan dron, tiada anggota ATM cedera di Lubnan

Kerosakan kecil dilaporkan pada bahagian luar dan dalam Malaysia House

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lubnan dilaporkan selamat susulan insiden letupan dipercayai melibatkan dron tidak dikenal pasti berhampiran Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ) di Naqoura, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan; semua PST Malaysia dan kakitangan UNIFIL berada di dalam bunker semasa kejadian.
  • Kejadian mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar dan dalam bangunan Malaysia House.
  • Kawasan sekitar Malaysia House ditutup untuk siasatan keselamatan; Kementerian memantau rapat dan bekerjasama dengan UNIFIL.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, letupan itu dipercayai berlaku berhampiran pagar perimeter UNIFIL HQ, kira-kira 20 meter dari tempat rehat Pegawai Staf Tentera (PST) Malaysia yang dikenali sebagai Malaysia House.

“Kejadian tersebut mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar dan dalam bangunan berkenaan.

“Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan melibatkan PST Malaysia mahupun staf UNIFIL kerana kesemuanya berada di dalam bunker semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kawasan sekitar Malaysia House telah ditutup bagi tujuan siasatan serta pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa UNIFIL dan elemen berkaitan.

Kementerian Pertahanan menerusi Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat situasi semasa di kawasan operasi selain bekerjasama dengan pihak UNIFIL serta pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara.