
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Proses kelulusan kewarganegaraan di negara ini dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang serta melalui tapisan keselamatan yang ketat.
- Menteri menafikan dakwaan beliau memberi kewarganegaraan kepada rakyat China sesuka hati, menyifatkannya fitnah berniat jahat.
- Beliau menegaskan penjelasan telah dibuat di Parlimen dan media, serta mengingatkan orang ramai menyemak maklumat dari sumber sahih.
- Penyebaran fitnah dan propaganda tidak berasas boleh menjejaskan keharmonian serta keselamatan; beliau menyeru hentikan dan sokong usaha kerajaan menangani cabaran semasa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan dakwaan yang tular di media sosial kononnya beliau meluluskan kewarganegaraan kepada warga asing secara sewenang-wenangnya, sebagai fitnah dan berita palsu yang sengaja dimainkan bagi membakar sentimen rakyat serta dijadikan senjata politik.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata perkara itu juga telah dijelaskan beberapa kali di Parlimen dan dalam sesi bersama media sebelum ini, termasuk penafian terhadap dakwaan sama yang pernah tular tahun lalu.
“Dakwaan kononnya saya memberi kewarganegaraan kepada rakyat China sesuka hati adalah fitnah berniat jahat yang sengaja dimainkan untuk mengelirukan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan naratif palsu dan sentiasa menyemak maklumat daripada sumber yang sahih.
“Penyebaran fitnah serta kandungan tidak benar bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak agar menghentikan penyebaran propaganda tidak berasas serta bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam mendepani cabaran semasa termasuk isu kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global.