
KUALA LUMPUR, 23 April – Pendayagunaan kecerdasan buatan (AI) dilihat mampu memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana dengan lebih pantas dan berkesan.
- AI menganalisis data agensi teknikal seperti MET, JPS dan JKR untuk menghasilkan dapatan yang membantu pihak berkuasa membuat keputusan lebih tepat.
- Penggunaan AI mempercepat pengenalpastian kawasan berisiko serta mempercepat pergerakan aset dan ketibaan pasukan penyelamat ke lokasi bencana.
- Teknologi lain seperti realiti terimbuh membantu pasukan penyelamat fahami situasi operasi manakala data tepat diperlukan untuk elak analisis cacat.
Teknologi tersebut membolehkan data daripada pelbagai agensi teknikal dianalisis bagi menghasilkan dapatan atau ‘insight’ yang membantu pihak berkuasa membuat keputusan dengan lebih tepat.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Abdul Gapar Abu Bakar berkata, penggunaan AI penting bagi memastikan proses analisis data dapat dilakukan dengan lebih cepat dan cekap.
“Bila data-data yang kita kumpulkan daripada agensi-agensi teknikal seperti MET Malaysia, JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), JKR (Jabatan Kerja Raya) dan sebagainya, kita kena buat analisa ke atas data-data tersebut.
“Data-data ini nanti kita akan memberikan satu dapatan yang dihasilkan dengan menggunakan AI. Untuk menganalisa dengan lebih cepat dan tepat, kita perlu menggunakan AI,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan teknologi tersebut turut membantu mengenal pasti kawasan berisiko serta mempercepat pergerakan aset ke lokasi bencana.
“Dalam pengurusan bencana, apabila kita gunakan AI, rakyat boleh mendapatkan bekalan-bekalan ataupun ketibaan pasukan-pasukan penyelamat ke kawasan-kawasan bencana itu menjadi lebih cepat.
“Sebab apabila kita analisis sesuatu tempat bencana itu menggunakan AI, kita akan dapat pastikan keadaan aset-aset untuk digerakkan ke kawasan-kawasan bencana lebih cepat dan tepat,” jelasnya.
Selain AI, penggunaan teknologi realiti terimbuh (Augmented Reality) turut dimanfaatkan bagi membantu pasukan penyelamat memahami situasi sebelum operasi dijalankan, sekali gus memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan.
Datuk Dr. Abdul Gapar juga berkata, penggunaan AI memerlukan data yang tepat bagi mengelakkan analisis yang kurang tepat, khususnya apabila melibatkan data yang mempunyai ‘noise’ atau gangguan.
Sementara itu, beliau memaklumkan satu sesi perkongsian mengenai teknologi akan dianjurkan menerusi program ‘Resilient Asia 2026’ dari 24 April hingga 26 April 2026 yang menghimpunkan pakar dan agensi berkaitan.
Program yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu dijangka menjadi medium untuk memperkenalkan serta memperluas penggunaan teknologi termasuk AI dalam pengurusan bencana di Malaysia.