
KUALA TERENGGANU, 23 April – Keadaan cuaca panas dan kering melanda Terengganu ketika ini adalah fenomena biasa bagi tempoh peralihan monsun.
- Taburan hujan rendah sejak Januari hingga April menyumbang kepada peningkatan suhu.
- Suhu maksimum masih dalam paras normal, dicatat sekitar 30.5 darjah Celsius di beberapa stesen utama.
- Keadaan panas dan kering meningkatkan risiko kebakaran terbuka kerana tanah dan tumbuhan mudah kering.
- Ribut petir dan hujan masih berpotensi di pedalaman; Monsun Barat Daya dijangka bermula Mei membawa lebih hujan.
Menurut Pengarah Meteorologi Terengganu, Rabiah Al-Adawiyah Zakaria, taburan hujan yang rendah sejak Januari hingga April serta kedudukan matahari lebih hampir dengan garisan khatulistiwa menyumbang kepada peningkatan suhu di negeri ini.
Namun, suhu maksimum direkodkan setakat ini masih berada pada paras normal.
“Antara suhu tertinggi dicatatkan ialah sekitar 30.5 darjah Celsius di beberapa stesen utama termasuk Kuala Terengganu, Besut dan Kerteh.
“Secara umumnya, Terengganu merekodkan taburan hujan yang lebih rendah pada bulan Mac dan April. Keadaan cuaca yang lebih kering serta kurang hujan, ditambah kedudukan matahari yang menghampiri garisan khatulistiwa pada April, turut menyumbang kepada peningkatan suhu dan cuaca panas di negeri itu,” katanya kepada pemberita RTM.
Keadaan panas dan kering ini turut meningkatkan risiko kebakaran terbuka berikutan tanah dan tumbuhan yang mudah kering.
Dalam tempoh peralihan monsun sejak 29 Mac lalu, ribut petir dan hujan masih berpotensi berlaku terutama di kawasan pedalaman.
Terengganu dijangka memasuki Monsun Barat Daya bermula Mei ini, berpotensi membawa perubahan kepada corak cuaca termasuk pertambahan hujan secara berperingkat.