
PUTRAJAYA, 23 April – Kemudahan khas bawah Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mendepani krisis bekalan global.
- KUSKOP menghargai keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kemudahan khas bagi membantu PMKS.
- Pakej sokongan kini bernilai RM10 bilion, berfungsi sebagai perisai ekonomi untuk memastikan PMKS bertahan dan kekal kompetitif.
- KUSKOP meneruskan usaha melalui pendekatan ABCD: Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal, Daya Akses Pasaran.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan MADANI berhubung satu lagi kemudahan khas bagi membantu PMKS.
Inisiatif strategik ini diumumkan hanya sehari selepas Perdana Menteri mengumumkan tiga langkah bagi membantu PMKS, termasuk jaminan pembiayaan RM5 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan berhad (SJPP).
Secara keseluruhan, pakej sokongan kepada PMKS kini bernilai RM10 bilion.
“Sektor PMKS menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 8.1 juta pekerja di negara ini.
“Memandangkan sektor ini paling terdedah kepada risiko ekonomi, suntikan dana ini berfungsi sebagai ‘perisai ekonomi’ untuk memastikan usahawan tempatan bukan sahaja mampu bertahan malah kekal kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Sim, sinergi sokongan kerajaan dan daya usaha usahawan akan memastikan sektor PMKS terus menjadi pemacu utama ekonomi negara, sekali gus menjamin kestabilan rantaian bekalan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“KUSKOP akan terus memperkukuh usaha ini melalui pendekatan ABCD iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran,” katanya.