
KUALA LUMPUR, 23 April– Kekuatan negara mesti bertunjangkan kestabilan, dasar yang jelas serta keupayaan untuk bertindak dengan bijaksana ketika berdepan ketidaktentuan geopolitik ketika ini.
- Konflik Asia Barat memberi kesan kepada rakyat melalui harga minyak, kos pengangkutan dan harga barangan.
- Malaysia perlu kekal dengan pendirian jelas tanpa terlalu berpihak kepada mana-mana pihak.
- Pemimpin menegaskan bahawa konflik berlarutan sepatutnya dielakkan kerana beban akhirnya ditanggung rakyat.
- Forum BN meningkatkan kefahaman masyarakat tentang dinamika geopolitik serta implikasinya terhadap ekonomi dan masa depan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan konflik berlarutan di Asia Barat sepatutnya tidak berlaku kerana akhirnya kesan konflik akan ditanggung oleh rakyat.
“Konflik yang berlaku jauh dari kita (Malaysia) tetap memberi kesan kepada kehidupan harian rakyat daripada harga minyak, kos pengangkutan hinggalah harga barangan di pasaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menyatakan dalam situasi konflik ini, Malaysia perlu kekal dengan pendirian jelas tanpa terlalu berpihak kepada mana-mana pihak.
Hantaran dibuat Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid selepas beliau menyertai ‘BN Forum Siri ke-10: Konflik Iran-Amerika Syarikat’ di Menara Dato’ Onn, malam tadi.
Forum dianjurkan sebagai wadah pencerahan yang meningkatkan kefahaman masyarakat tentang dinamika geopolitik serta implikasinya terhadap ekonomi dan masa depan negara.