KUALA LUMPUR, 19 Mac- Jemaah Menteri telah bersetuju dengan terma perjanjian bersama Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian bangkai pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Kementerian Pengangkutan akan mewakili kerajaan bagi menandatangani perjanjian itu dengan syarikat Ocean Infinity.
"Keputusan Jemaah Menteri ini membolehkan operasi pencarian dasar laut dimulakan bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip "no find, no fee", katanya menerusi satu kenyataan.
"Mengikut prinsip ini kerajaan ini tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada bangkai pesawat yang ditemui. Fi sejumlah USD70 juta akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya ditemui.
Keputusan itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam meneruskan pencarian dan memberikan penutup kepada keluarga waris penumpang MH370.