
KUALA LUMPUR, 15 Jun – Penantian selama 44 tahun bagi penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di sini berakhir apabila bakal menerima penggantian kediaman baharu yang dijanjikan kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata, seramai 98 keluarga terbabit menerima dua lot apartmen tiga bilik secara percuma menerusi projek pembangunan semula kawasan berkenaan.
Beliau berkata, projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, sekali gus memberi sinar baharu kepada penduduk yang telah lama menantikan penyelesaian isu perumahan mereka.
“Pembangunan dihadkan kepada kawasan seluas 5.76 ekar sahaja, baki tanah diserahkan semula kepada kerajaan untuk diwartakan sebagai kawasan lapang awam.
“Rumah ganti dibangunkan dan disiapkan terlebih dahulu bagi membolehkan penduduk berpindah terus ke kediaman baharu tanpa perlu melalui penempatan sementara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal Bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, hari ini.
Hannah berkata, beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen dalam memastikan isu yang telah berlaruan merentasi beberapa pentadbiran diselesaikan secara tuntas.
Beliau berkata, pendirian Kerajaan MADANI yang menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, memelihara Taman Rimba Kiara dan memastikan kebajikan penduduk terus terbela memungkinkan penyelesaian itu direalisasikan.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi tapak kuil sedia ada di perumahan tersebut yang mana ia akan dikekalkan dan dizonkan secara rasmi sebagai Tapak Rumah Ibadat Bukan Islam.