Jelajah Belanjawan 2027 Pahang: Memperkasa komuniti dan pelancongan mampan

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberi taklimat oleh Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman Jumshoiry Novdany Mohd Sulaiman (empat, kanan) ketika berada di Kampung Tekek, Pulau Tioman/Foto BERNAMA

PULAU TIOMAN, 28 September – Penambahbaikan kemudahan asas di Pulau Tioman menjadi antara fokus utama hasil sesi libat urus kerajaan bersama pemain industri bagi memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi di pulau berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan merangkumi peningkatan jalan raya, bekalan air bersih, liputan telekomunikasi dan fasiliti kesihatan kritikal.
  • Pengukuhan infrastruktur dijangka tarik lebih pelancong, buka peluang pekerjaan dan galakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.
  • Pengusaha beri perhatian kepada pengurusan sisa pepejal, pencemaran dan keperluan loji pembakar untuk kelestarian ekosistem.
  • Kekurangan air, sisa cecair, perubahan iklim dan masalah pengangkutan termasuk ketiadaan lapangan terbang sesuai mengehadkan operasi kepada 6-7 bulan setahun.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perbincangan mendalam telah diadakan merangkumi aspek peningkatkan kemudahan jalan raya, bekalan air bersih, liputan telekomunikasi serta fasiliti kesihatan yang kritikal buat penduduk tempatan dan pelancong.

“Pengukuhan infrastruktur adalah penting bagi peningkatan jumlah pelancong yang dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi kepada usahawan serta penduduk setempat,” kata Datuk Seri Amir Hamzah.

Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 Bersama Komuniti Perniagaan dan Pelancongan Pulau Tioman itu menghimpunkan seramai 25 pemain industri serta Pasukan Belanjawan 2027 Kementerian Kewangan.

Dalam sesi berkenaan, para pengusaha dan wakil komuniti turut mengemukakan isu yang membelenggu operasi harian di pulau tersebut.

Antaranya bagi salah seorang pengusaha resort, Prof. Adj. Peter Lo Chine Pan menekankan keperluan mendesak terhadap pengurusan sisa pepejal, pencemaran, serta fasiliti loji pembakar (incinerator) demi menjaga keselamatan dan kelestarian ekosistem pulau.

Di samping itu, Ketua Pegawai Program Reef Check, Alvin Chelliah menjelaskan isu kekurangan air bersih, pengurusan sisa cecair, serta impak perubahan iklim merupakan ancaman utama terhadap operasi jangka panjang di pulau peranginan negara.

Manakala wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Juara, Ab Razif Ali Awang membangkitkan isu kekangan pengangkutan dan ketiadaan kemudahan lapangan terbang yang sesuai.

“Situasi ini sekali gus menyebabkan usahawan tempatan hanya mampu beroperasi secara optimum selama 6 hingga 7 bulan setahun akibat musim tengkujuh,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.