Pelaksanaan JS-SEZ tidak pernah tertangguh, terus catat perkembangan positif

Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Status projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak pernah tertangguh dan terus menunjukkan perkembangan positif, sekali gus menjawab dakwaan yang dibangkitkan berhubung pelaksanaannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaburan diluluskan besar; banyak projek kini berada pada peringkat pelaksanaan.
  • IMFC-J mengurus 285 pertanyaan minat pelaburan dengan potensi terkumpul yang signifikan.
  • Kerjasama antarabangsa diperkukuh; RTS dijangka beroperasi tahun hadapan meningkatkan daya tarikan dan manfaat ekonomi.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia diterjemahkan kepada pelaburan dan projek sebenar yang sedang dilaksanakan.

“Pada 2025, JS-SEZ mencatatkan RM76.98 bilion pelaburan yang diluluskan, dengan 57 peratus daripada jumlah kumulatif pelaburan itu kini berada pada peringkat pelaksanaan.

“Bagi suku pertama 2026 sahaja, tambahan RM54.9 bilion pelaburan diluluskan. Dari Januari hingga Mei 2026, Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J) telah menguruskan 285 pertanyaan minat pelaburan dengan potensi terkumpul dikenal pasti berjumlah RM74.12 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video penjelasan yang dimuat naik di platform TikTok berhubung status pelaksanaan projek JS-SEZ.

Kerajaan sedang mempergiat usaha memperkukuh kerjasama dengan pelbagai negara bagi menarik lebih banyak pelaburan ke JS-SEZ, termasuk menerusi pertemuan bersama delegasi dari Itali, Perancis, Jerman, negara-negara Nordic, Taiwan, Kanada serta wakil diplomatik dari 35 negara yang berpangkalan di Singapura.

Dalam pada itu, beliau berkata persediaan bagi pengoperasian Johor–Singapore Rapid Transit System (RTS) yang dijadualkan beroperasi tahun hadapan turut dijangka meningkatkan lagi daya tarikan JS-SEZ serta memberi limpahan manfaat kepada ekonomi Johor dan Malaysia.

Beliau berkata kejayaan pelaksanaan JS-SEZ merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, organisasi dan pemain industri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.