
BUKIT JALIL, 1 Mei – Warga pekerja menyambut baik pelaksanaan Program Pakej Daya Tahan Ekonomi (PACE) 2026 yang diumumkan kerajaan, dengan menyifatkannya sebagai langkah proaktif dalam memperkasa tenaga kerja serta meningkatkan daya saing rakyat.
- Fokus latihan membantu lepasan baharu memperoleh asas kerja yang kukuh dan memudahkan peralihan ke alam pekerjaan.
- Peruntukan untuk perlindungan sosial memberikan keselamatan dan sokongan kepada pekerja ketika menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
- Inisiatif termasuk pemerkasaan latihan, penempatan kerja, pengupayaan pekerja gig serta pemantapan bakat muda dan PMKS.
- Nilai keseluruhan melebihi RM710 juta menandakan komitmen kerajaan memperkukuh modal insan dan kebajikan pekerja.
Rata-rata pekerja berpandangan pakej berkenaan mampu membantu golongan pekerja dan pencari kerja menyesuaikan diri dengan keperluan semasa menerusi latihan, perlindungan sosial serta peluang pembangunan kerjaya yang lebih menyeluruh.

Seorang penjawat awam, Mohammad Muz Muslan berkata, inisiatif latihan yang disediakan amat bermanfaat khususnya kepada lepasan baharu bagi memastikan mereka memiliki asas kukuh sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.
“Latihan yang diberikan bagus untuk fresh graduate, maksudnya bila masuk alam pekerjaan mereka sudah ada asas untuk ditempuh. Bagus untuk pelatih baharu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penjawat awam, Nurul Aqilah Sapini menyifatkan pakej berkenaan sebagai bukti kesungguhan kerajaan dalam menyediakan manfaat berterusan kepada rakyat walaupun tidak semua keperluan dapat dipenuhi sepenuhnya.
“Kerajaan cuba sehabis baik memberi manfaat kepada rakyat. Sebagai rakyat kita kena berterima kasih. Mungkin tidak meliputi semua, tetapi ada perkara yang kita boleh manfaatkan.
“Sebagai pekerja, untuk jangka masa panjang, saya masih lambat untuk pencen dan rasa dihargai sehingga akhir perkhidmatan,” katanya.
PACE 2026 akan dilaksanakan menerusi empat inisiatif utama iaitu Kesiapsiagaan Perlindungan Sosial dengan peruntukan RM580 juta, Pemerkasaan Latihan dan Penempatan Kerja, Pengupayaan Pekerja Gig serta Pemantapan Bakat Muda dan Ketahanan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Secara keseluruhan, program berkenaan bernilai lebih RM710 juta dan dilihat sebagai antara usaha penting kerajaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan, melindungi kebajikan pekerja serta memastikan ekonomi negara terus berdaya tahan.