
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Agenda penilaian semula dasar pendidikan Bumiputera menjadi antara fokus utama yang digariskan dalam resolusi Kongres Pendidikan Bumiputera 2026.
- Tumpuan enam fokus utama termasuk pengarusperdanaan tahfiz, pemerkasaan TVET dan pendidikan awal kanak-kanak.
- Dapatan kongres dirumuskan sebagai resolusi dan diserahkan kepada Presiden UMNO serta Perdana Menteri untuk dibawa ke Majlis Pendidikan Negara.
- Pemerkasaan melalui tiga pendekatan: kerangka strategik jangka panjang, reformasi dasar responsif dan iltizam politik untuk tindakan nyata.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kongres tersebut memberi tumpuan kepada enam fokus utama termasuk pengarusperdanaan aliran tahfiz, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan awal kanak-kanak.
Menurut beliau, segala dapatan dan perbahasan sepanjang kongres akan dirumuskan dalam bentuk resolusi sebelum diserahkan kepada Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, seterusnya kepada Perdana Menteri untuk dijadikan antara agenda utama dalam Majlis Pendidikan Negara.
“Harapan kita jelas agar resolusi ini tidak menjadi sekadar dokumen yang tersimpan di rak pejabat, tetapi menjadi asas kepada tindakan nasional yang konkrit, berani dan berkesan,” katanya ketika menyampaikan ucapan halatuju kongres berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Kongres Pendidikan Bumiputera menegaskan agenda pemerkasaan pendidikan Bumiputera akan digerakkan menerusi tiga pendekatan utama secara menyeluruh dan bersepadu.
Jelasnya, pendekatan pertama ialah penyediaan kerangka strategik pendidikan Bumiputera yang jelas, terarah dan berjangka panjang.
Pendekatan kedua pula melibatkan reformasi dasar serta pelaksanaan yang lebih responsif terhadap realiti semasa dan cabaran masa hadapan.
“Paling utama adalah iltizam politik bagi memastikan setiap cadangan tidak sekadar menjadi wacana, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan yang nyata dan berkesan,” katanya.
Lebih 5,000 peserta menghadiri kongres berkenaan yang menghimpunkan tokoh pelbagai bidang pendidikan menerusi enam sesi utama, sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO.