Akses pendidikan awal berkualiti tangani jurang pendidikan Bumiputera

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berucap pada Kongres Pendidikan Bumiputera 2026

KUALA LUMPUR, 1 Mei Akses kualiti dan pesekitaran pendidikan awal antara punca jurang pendidikan bumiputera berlaku, bukan di peringkat pengajian tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kongres menyeru perancangan berani dan tersusun untuk membina masa depan pendidikan Bumiputera.
  • Penekanan kepada permulaan pendidikan terbaik sejak peringkat awal, bukan hanya ukuran statistik kemasukan universiti.
  • Persekitaran kondusif, institusi keluarga kuat, pemakanan, bahasa dan budaya membaca perlu diperkukuh untuk asas kukuh.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata isu kritikal ini menjadi antara fokus utama dalam Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 yang menekankan bahawa masa depan bangsa tidak boleh diserahkan kepada kebetulan, sebaliknya perlu dibina dengan perancangan yang berani dan tersusun.

“Pendidikan Bumiputera kini tidak lagi boleh dinilai berdasarkan angka statistik kemasukan ke universiti semata-mata, sebaliknya penekanan harus diberikan kepada usaha memastikan permulaan pendidikan terbaik sejak peringkat paling awal kehidupan mereka.

“Antara faktor utama yang dikenal pasti menyumbang kepada jurang ini termasuklah persekitaran pembelajaran yang kondusif, kekuatan institusi keluarga, akses kepada pemakanan yang baik, serta penguasaan bahasa dan budaya membaca yang perlu dipupuk dari awal,” katanya ketika berucap di Kongres Pendidikan Bumiputera 2026.

Tambah beliau, jika asas pendidikan di peringkat ini rapuh, generasi Bumiputera akan berdepan kesukaran untuk bersaing pada peringkat yang lebih tinggi.

Kongres yang berlangsung sempena sambutan ulang tahun ke-80 UMNO ini menghimpunkan tokoh-tokoh akademik terbaik negara daripada pelbagai bidang pendidikan untuk merangka hala tuju masa hadapan pendidikan Bumiputera yang lebih mampan dan berkesan.