
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Kekuatan sebenar ekonomi negara bukan sahaja bergantung kepada dasar, sebaliknya turut ditentukan oleh kualiti hubungan antara majikan dan pekerja.
- Majikan perlu adil, menghargai sumbangan pekerja untuk tingkatkan produktiviti dan kesetiaan.
- Pekerja mesti berintegriti, berdisiplin dan elakkan sikap sambil lewa, kurang amanah serta menyalahkan orang lain.
- Perbaiki kelemahan kedua pihak, ambil tanggungjawab bersama serta semarakkan semangat nasionalisme untuk memajukan ekonomi negara.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir), Mohammad Rizan Hassan berkata, pekerja bukan sekadar tenaga buruh, tetapi merupakan aset strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan organisasi dan negara.
“Sikap memandang rendah, komunikasi yang lemah, serta kegagalan menghargai sumbangan pekerja hanya akan melemahkan produktiviti dan kesetiaan tenaga kerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pekerja juga perlu menunjukkan sikap terpuji terhadap majikan dengan tidak bersikap budaya kerja sambil lewa, kurang disiplin, tidak amanah serta cepat menyalahkan pihak lain yang semestinya akan menjejaskan
kepercayaan serta prestasi organisasi.
Menurutnya, realitinya kedua-dua pihak mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki demi mewujudkan hubungan pekerjaan yang lebih harmoni dan produktif.
Jelas beliau, hubungan antara majikan dan pekerja tidak seharusnya dilihat sekadar berasaskan kontrak pekerjaan, sebaliknya sebagai satu perkongsian tanggungjawab dalam membina ekonomi negara.
“Jalan ke hadapan memerlukan sikap kebertanggungjawaban serta semangat nasionalisme yang tinggi daripada kedua-dua pihak.
“Majikan perlu adil dan menghargai, manakala pekerja pula perlu berintegriti dan berdisiplin,” katanya.