Cadangan perluas perlindungan PERKESO ke luar negara terima reaksi positif

Pada Mac 2026, PERKESO/Skim Pengembara menyebut kira-kira 400,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura / BERNAMA

BUKIT JALIL, 1 Mei – Cadangan kerajaan untuk memperluaskan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial kepada warganegara Malaysia yang bekerja di luar negara disambut baik oleh masyarakat, khususnya mereka yang mencari rezeki di negara jiran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan memperluas perlindungan PERKESO untuk rakyat Malaysia bekerja di luar negara disambut baik oleh masyarakat.
  • Inisiatif dianggap penting bagi menjaga kebajikan pekerja, termasuk golongan pekerja gig.
  • Pekerja swasta menyatakan skim baharu memberi perlindungan setara seperti pekerja dalam negara.
  • Pengulas menyifatkan langkah ini bermakna dan progresif bagi memperkukuh jaringan keselamatan sosial.

Tinjauan sempena sambutan Hari Pekerja mendapati rata-rata rakyat menyifatkan langkah itu sebagai inisiatif penting dalam menjaga kebajikan pekerja Malaysia di luar negara, termasuk golongan pekerja gig.

Bagi pekerja swasta, Ummi Syaqillah Mohd Sidek, skim baharu yang diumumkan itu amat bertepatan memandangkan ramai rakyat Malaysia bekerja di Singapura dan memerlukan perlindungan sosial yang setara seperti pekerja di dalam negara.

“Bagi saya skim ini sangat patut dan bagus kerana rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara turut mendapat perlindungan yang sama. Ini menunjukkan kebajikan mereka terus dijaga,” katanya.

Sementara itu, pengacara majlis bebas, Terrence Dass menyifatkan cadangan tersebut sebagai sesuatu yang cukup bermakna, khususnya dalam menangani risiko yang dihadapi rakyat Malaysia di luar negara.

Menurutnya, terdapat kes melibatkan rakyat Malaysia yang berdepan krisis setiap minggu tanpa perlindungan sewajarnya, justeru penambahbaikan terhadap akta perlindungan dilihat sebagai langkah yang amat diperlukan.

“Ini satu inisiatif yang baik untuk memastikan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara, terutama di Singapura, terus terbela,” ujarnya.

Secara keseluruhan, cadangan memperluaskan perlindungan PERKESO itu dilihat sebagai langkah progresif kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia terus terjamin tanpa mengira lokasi mereka bekerja.