
BUKIT JALIL, 1 Mei – Pengumuman kerajaan untuk memperkenalkan elaun pasca cuti bersalin sebagai bantuan kewangan tambahan sehingga 30 hari menerima reaksi positif dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan wanita.
- Elaun pasca cuti bersalin memberi kelegaan kepada ibu, membolehkan penjagaan bayi dan pemulihan mental serta fizikal sebelum kembali bekerja.
- Inisiatif kerajaan dihargai sebagai penghargaan kepada wanita, menunjukkan sokongan lebih kukuh terhadap kebajikan ibu bekerja.
- Langkah ini dilihat progresif, memperkukuh kesejahteraan keluarga serta produktiviti tenaga kerja negara.
Tinjauan sempena sambutan Hari Pekerja di Unifi Arena, Bukit Jalil mendapati ramai penjawat awam menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah tepat dalam menjaga kebajikan ibu selepas melahirkan anak.

Penjawat awam, Azrina Mohd Amin berkata, pengumuman tersebut memberi kelegaan kepada wanita kerana ia membantu mereka menjaga bayi dengan lebih lama selain memberi ruang untuk pulih dari segi mental dan fizikal sebelum kembali bekerja.
“Sekurang-kurangnya para ibu boleh bersedia dengan lebih baik untuk kembali bekerja dalam keadaan lebih stabil dan yakin,” katanya.

Sementara itu, Murni Mohamad Din menyifatkan usaha kerajaan sebagai satu penghargaan besar kepada golongan wanita yang selama ini memerlukan sokongan lebih kukuh selepas bersalin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan negara atas usaha memperjuangkan hak wanita, khususnya dalam aspek cuti bersalin dan kebajikan ibu bekerja.

Bagi Norsaadah Mohd Sidek pula, elaun tambahan itu dilihat mampu membantu dari segi kestabilan emosi dan fizikal wanita selepas melahirkan anak.
“Pengumuman ini memberi kekuatan mental kepada ibu bersalin, selain membantu mereka pulih dengan lebih baik,” ujarnya.

Seorang pramugari, Suganthi Namasivayam, berkata pengumuman Perdana Menteri itu amat penting kerana ia memenuhi harapan ramai wanita yang menantikan sokongan lebih menyeluruh selepas bersalin.
“Pengumuman yang diberitahu adalah sangat penting untuk kami dan memang ditunggu selama ini. Semua rasa teruja dengan berita daripada Datuk Seri Anwar dan kami berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Seorang lagi penjawat awam yang ditemui Arshlindah Arshit memberitahu, inisiatif tersebut memberi impak besar khususnya kepada wanita yang baharu membina keluarga kerana ia bukan sahaja membantu dari sudut kewangan, malah menyokong kesejahteraan mental dan fizikal ibu.
“Ini sangat baik dan positif kepada wanita terutama yang baru berkeluarga. Saya sangat bersetuju, berpuas hati dan gembira dengan pengumuman ini,” katanya.
Secara keseluruhan, inisiatif tersebut dilihat sebagai langkah progresif kerajaan dalam memperkukuh sokongan kepada wanita bekerjaya, selari dengan usaha meningkatkan kesejahteraan keluarga dan produktiviti tenaga kerja negara.