fb fb fb fb fb

Ops Pantau: KPDN Perlis tumpu 7 lokasi utama bazar Ramadan

Foto: FB KPDN Perlis

 ARAU, 14 Mac- Seramai 33 pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis digerakkan bagi memantau pelaksanaan Bazar Ramadan seluruh Perlis menerusi Ops Pantau.

Operasi ini bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menjual makanan dan minuman pada harga tidak munasabah di setiap bazar Ramadan.

Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar berkata Ops Pantau tertumpu di tujuh lokasi utama bazar Ramadan seliaan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Bazar Ramadan di bawah seliaan MPK ialah Bazar Ramadan Persiaran Wawasan, Bazar Ramadan Taman Kemajuan, Bazar Ramadan Kuala Perlis dan Bazar Ramadan Dataran Niaga Arau.

"Manakala di bawah seliaan FAMA melibatkan Bazar Ramadan Pasar Tani Kekal Simpang Empar, Bazar Ramadan Pasar Tani Dataran MAIPs dan Bazar Ramadan Pasar Tani UniMAP.

"Peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga sesuka hati sehingga membebankan pengguna dan sekiranya wujud elemen mencatut, tindakan boleh dikenakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Terdahulu, beliau meninjau pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah Madani di Dataran Niaga Arau, di mana 13 peniaga terlibat menyediakan Menu Rahmah kepada pengunjung.

ZEHRA BINTI ZAMBRI