
PUTRAJAYA, 10 Jun – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri ‘V 1 MY’ hingga ‘V 9999 MY’ selama lima hari mulai Sabtu ini.
- NPI dijangka tarik pembida bernilai tinggi dan menambah peruntukan bagi promosi Tahun Melawat Malaysia 2026.
- JPJ akan melaksanakan bidaan dalam talian melalui sistem JPJeBid mengikut terma, syarat dan harga minimum ditetapkan.
- Bidaan ditutup pada pukul 10.00 malam, 17 Jun.
- Malaysia catat 17.5 juta ketibaan hingga Mei; kerajaan sasar 47 juta dan perhebat promosi luar negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata siri nombor khas itu dijangka menarik minat pembida yang menghargai nombor pendaftaran bernilai tinggi, sekali gus membantu menambah peruntukan bagi promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Saya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan dan JPJ, khususnya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke atas sokongan dalam menjayakan TMM2026,” menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man yang membacakan teks ucapan beliau pada majlis pelancaran NPI TMM2026, di sini, hari ini.
Penawaran NPI berkenaan akan dilaksanakan oleh JPJ menerusi bidaan dalam talian melalui sistem JPJeBid, tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada serta harga minimum yang ditetapkan.
Dan bidaan akan berakhir pada pukul 10.00 malam, 17 Jun ini.
Sementara itu, Chiew turut memaklumkan setakat Mei lalu, Malaysia merekodkan 17.5 juta ketibaan pelancong setakat Mei lalu, sekali gus menunjukkan perkembangan positif ke arah pencapaian sasaran yang ditetapkan sempena TMM2026.
“Kerajaan menyasarkan 47 juta ketibaan pelawat antarabangsa sepanjang tahun ini. Sasaran tersebut selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor pelancongan sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, selain meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau lagi, pelbagai usaha promosi terus dipergiat di dalam dan luar negara bagi mengekalkan momentum kemasukan pelancong ke Malaysia.
“Kita akan memanfaatkan pejabat-pejabat Malaysia di luar negara bagi memperhebat usaha promosi pelancongan, termasuk menjalin kerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan seperti ejen pelancongan, pempengaruh dan media di negara berkenaan, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negara kita,” tambahnya.
Tambah beliau, meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar, termasuk kenaikan harga bahan api penerbangan serta ketidaktentuan ekonomi global, kerajaan masih berada pada landasan yang dirancang dan yakin sasaran yang ditetapkan mampu dicapai.
Mengulas mengenai kenaikan tambang penerbangan, beliau berkata kerajaan sentiasa bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan ejen pelancongan bagi meningkatkan kapasiti serta kekerapan penerbangan ke Malaysia.