Teknologi baharu radioterapi AI untuk rawatan kanser

Datuk Hanifah Hajar Taib (tiga kiri) ketika majlis pelancaran Varian Ethos with HyperSight di Kuala Lumpur hari ini

KUALA LUMPUR, 10 Jun- Kemajuan teknologi perubatan dalam rawatan kanser terus berkembang apabila sistem radioterapi adaptif berasaskan imej dan kecerdasan buatan (AI), Varian Ethos with HyperSight diperkenalkan sebagai teknologi baharu di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rawatan lebih tepat dan bersasar, memberi diagnosis lebih awal serta sokongan sepanjang rawatan.
  • Kerjasama awam-swasta penting untuk meluaskan kapasiti rawatan dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan pakar.
  • Rawatan disesuaikan mengurangkan pendedahan radiasi kepada organ sihat dan berpotensi meningkatkan hasil pesakit.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata pengenalan teknologi itu mencerminkan perkembangan dalam pendekatan rawatan kanser yang lebih tepat dan bersasar kepada pesakit.

“Kanser masih menjadi antara cabaran kesihatan utama di Malaysia dengan jumlah kes yang semakin meningkat.

“Justeru, bagi memastikan rakyat mendapat diagnosis lebih awal, rawatan yang berkesan serta sokongan sepanjang rawatan, kemajuan teknologi perubatan telah mengubah cara kanser didiagnosis dan dirawat,” katanya ketika menyempurnakan majlis pelancaran sistem berkenaan di Hospital Pantai di sini, hari ini.

Datuk Hanifah berkata kerjasama antara sektor awam dan swasta penting dalam memperluaskan kapasiti rawatan, meningkatkan akses kepada perkhidmatan pakar serta memastikan pesakit menerima rawatan pada masa sesuai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Kuala Lumpur, Chong Soon Mei berkata pengenalan sistem itu merupakan langkah dalam memperkukuh rawatan kanser berasaskan pendekatan lebih berpusatkan pesakit.

“Di sebalik teknologi ini, yang lebih penting ialah tujuannya iaitu untuk memberikan penjagaan yang lebih tepat dan meyakinkan kepada pesakit. Kami menghargai kerjasama berterusan dengan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya pada majlis sama.

Menurut beliau, teknologi tersebut membolehkan rawatan disesuaikan mengikut keperluan individu, selain mengurangkan pendedahan radiasi tidak diperlukan kepada organ sihat serta berpotensi meningkatkan hasil rawatan pesakit.

Varian Ethos with HyperSight merupakan teknologi pertama seumpamanya dalam rawatan kanser di negara ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.