
PUTRAJAYA, 28 April – Tokoh sastera negara Allahyarham Dr Abdul Rahman Napiah atau lebih dikenali dengan nama pena Mana Sikana, diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-16 sekali gus melakar sejarah dalam dunia sastera tanah air.
- Pemilihan berdasarkan konsistensi menghasilkan karya bermutu tinggi serta pemikiran kritis dan inovatif, menurut Menteri Pendidikan.
- Pindaan Tatacara Kerja Anugerah membolehkan calon yang meninggal dunia dalam tempoh penilaian terus dipertimbangkan.
- Sumbangan besar terhadap estetika dan falsafah kesusasteraan Melayu, karya meliputi novel, cerpen dan drama pentas.
- Waris menerima warkah penghormatan, RM60,000 dan dana penerbitan sehingga 50,000 naskhah; pengurniaan akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pemilihan Allahyarham Dr Abdul Rahman Napiah adalah berdasarkan konsistensi beliau menghasilkan karya bermutu tinggi yang sarat dengan pemikiran kritis dan inovatif.
“Walaupun jasad tokoh sudah tiada, karya dan pemikiran yang ditinggalkan akan terus hidup sebagai khazanah ilmu bangsa.
“Pindaan Tatacara Kerja Anugerah Sastera Negara yang diluluskan Januari lalu membolehkan calon yang meninggal dunia dalam tempoh penilaian tetap dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kementerian Pendidikan Malaysia pengumuman Anugerah Sastera Negara ke-16, di sini hari ini.
Meskipun Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir pada Mei tahun lalu, sumbangan besar beliau terhadap estetika dan falsafah kesusasteraan Melayu melayakkan beliau menerima penghormatan tertinggi negara itu.
“Panel pemilihan sebenarnya telah memuktamadkan keputusan pada 14 April 2025, kira-kira sebulan sebelum Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM pada usia 80 tahun,” tambah beliau.
Mana Sikana dikenali sebagai sasterawan yang berani bereksperimen dalam pelbagai genre Antaranya novel, cerpen dan drama pentas. Antara karya-karya beliau termasuk novel Syajar, kumpulan cerpen Cinta Junjungan dan drama Pengadilan.
Bakat luar biasa yang dimiliki Allahyarham Dr Abdul Rahman Napiah dikesan sejak di bangku sekolah lagi ketika berusia 18 tahun apabila cerpen beliau yang bertajuk Kawan yang Berbudi dan Berduri memenangi hadiah pilihan terbaik akhbar Berita Harian.
Waris Allahyarham bakal menerima warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan dana penerbitan karya sehingga 50,000 naskhah (nilai maksimum RM500,000) untuk edaran ke sekolah dan perpustakaan seluruh negara.
Majlis pengurniaan anugerah berprestij ini akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada tarikh yang akan ditetapkan Istana Negara. Pengiktirafan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menjulang jasa tokoh sastera tanpa terhalang dengan kekangan teknikal status hayat.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina turut berkongsi berkenaan progam berkonsepkan mentor-mentee melibatkan sasterawan negara dan bakat muda sedang dirancang bawah kendalian SN Anwar Ridhwan dan SN Rahman Shaari dengan seliaan Dewan Bahasa dan Pustaka.