Literasi pengguna dan digital perlu diperkukuh elak penipuan

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menyempurnakan Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN Ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 di Cyberjaya/ BERNAMA

CYBERJAYA, 28 April – Literasi pengguna dan literasi digital perlu diperkukuh bagi memastikan pengguna lebih memahami hak, peka terhadap risiko dan mampu melindungi diri dalam persekitaran yang semakin mencabar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh pendidikan pengguna dan kemahiran digital supaya pengguna lebih faham hak, peka risiko dan mampu melindungi diri.
  • Pelaksanaan menyeluruh melalui kerjasama kementerian dan rakan strategik bagi mengelakkan pengguna daripada penipuan dan manipulasi.
  • Platform digital mesti diurus seperti transaksi fizikal: maklumat produk jelas, harga telus, proses pemulangan wang mudah dan adil.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh menerusi kerjasama kementerian dan rakan strategik bagi mengelakkan pengguna daripada penipuan dan manipulasi.

Beliau turut berpandangan ada keperluan untuk mempertimbangkan satu kerangka yang lebih menyeluruh, termasuk satu akta khusus bagi pasaran digital.

“Platform digital bukan lagi sekadar tempat jual beli. Ia kini mempunyai pengaruh besar terhadap apa yang kita beli, cara kita membuat pilihan, dan kadangkala jumlah perbelanjaan kita.

“Seperti transaksi fizikal, urus niaga dalam talian juga perlu diurus dan dikawal dengan standard yang sama. Maklumat produk hendaklah jelas, harga perlu telus dan proses pemulangan wang mestilah mudah serta adil”, katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna 2.0 di Cyberjaya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid juga menekankan kepentingan memperkasa integriti dan akauntabiliti pasaran digital bagi memastikan wujud kawal selia yang baik menerusi platform tersebut.

Tahun lalu, sebanyak hampir 68,000 kes penipuan dalam talian direkodkan melibatkan kerugian melebihi RM 2.8 bilion.