
PEKAN, 21 Mei – Sebuah bas ekspres terbakar di bahagian enjin berhampiran kediaman Istana Mahkota di sini, hari ini.
- Bas tidak membawa penumpang; kedua-dua pemandu dilaporkan selamat.
- Panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.20 petang; enam anggota BBP Peramu digerakkan dan satu aliran salur bantu digunakan untuk memadam.
- Operasi dibantu enam anggota BBP Pekan, tamat pada 2.53 petang; pemeriksaan menyeluruh dijalankan, punca dan anggaran kerugian dalam siasatan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan dari Pekan ke Kuantan selepas keluar dari sebuah bengkel.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.20 petang sebelum enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Ketika kejadian, bas tersebut tidak membawa penumpang dan hanya terdapat dua pemandu. Kedua-duanya dilaporkan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada tangki pam jentera sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Operasi pemadaman turut dibantu enam anggota dari BBP Pekan dan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.53 petang.
Tambahnya, pemeriksaan menyeluruh turut dilakukan bagi memastikan tiada risiko kebakaran berulang.
Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.