PACE dijangka manfaatkan 86,000 pekerja, pelatih

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Kira-kira 86,000 pekerja dan pelatih di seluruh negara dijangka menerima manfaat menerusi Pakej Daya Tahan Ekonomi ‘Pemerkasaan Progresif Keupayaan dan Pekerjaan’ (PACE).

RINGKASAN BERITA AI
  • PACE memperkukuh mobiliti kerjaya dan memastikan kelangsungan ekonomi rakyat melalui intervensi awal bersasar.
  • Inisiatif merangkumi perlindungan sosial, peningkatan kemahiran, penempatan pekerjaan dan pengupayaan pekerja gig secara inklusif.
  • Pelaksanaan menyelaraskan PERKESO, HRD Corp, PTPK dan TalentCorp dengan peruntukan untuk insurans pekerjaan, latihan dan sokongan ekosistem.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif itu bertujuan memperkukuh mobiliti kerjaya, di samping memastikan kelangsungan ekonomi rakyat terus terjamin.

PACE yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Pekerja 2026 merangkumi aspek perlindungan sosial, peningkatan kemahiran, penempatan pekerjaan serta pengupayaan pekerja gig secara inklusif.

Langkah intervensi itu diambil susulan unjuran pasaran buruh negara yang dijangka berdepan tekanan ketara bermula suku kedua 2026, khususnya antara Mei hingga September depan.

“Tanpa intervensi awal yang bersasar, tuntutan kehilangan pekerjaan dijangka boleh mencecah sekitar 18,500 tuntutan pada Ogos ini – menyamai paras kemuncak era pandemik COVID-19 pada Jun 2020,” menurut kenyataan itu.

Lima sektor utama yang dikenal pasti berisiko terjejas ialah pembuatan, perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, pengangkutan dan penyimpanan, serta sektor maklumat dan komunikasi.

Pelaksanaan PACE akan menyelaraskan dana dan inisiatif daripada agensi utama bawah KESUMA, termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp).

Bagi memperkukuh jaringan keselamatan sosial, PERKESO memperuntukkan dana melebihi RM580 juta menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan LINDUNG Kerjaya yang menyasarkan lebih 56,000 individu yang kehilangan pekerjaan.

HRD Corp pula menyediakan RM100 juta bagi menyasarkan 20,000 peserta melalui tujuh program utama termasuk Vetri MADANI, Daya, Digital dan Gig to Business (GTB) yang dijangka bermula hujung bulan ini.

Dalam pada itu, PTPK turut menyediakan peruntukan tambahan RM20 juta bagi latihan kemahiran khusus kepada 5,000 pekerja e-hailing dan p-hailing bagi memperkasakan ekosistem ekonomi gig.

Sektor belia serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) juga tidak dilupakan menerusi penyediaan geran padanan latihan industri bernilai RM10 juta oleh TalentCorp, yang menyasarkan 5,000 penempatan latihan industri berbayar.

Usaha menyeluruh ini diharap dapat membantu majikan dan pekerja dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi serta cabaran pasaran buruh semasa dengan lebih berdaya tahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.