
JEDDAH, 28 Ogos – Malaysia menegaskan pendiriannya dan tidak berbelah bahagi dalam menyokong penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka, berdaulat, berdaya maju dan berkesinambungan berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Tergempar CFM OIC di Jeddah.
- Malaysia mengecam keganasan terhadap rakyat Palestin dan menuntut penghentian pengembangan penempatan haram serta usaha mengubah status Al-Quds.
- Seruan untuk gencatan senjata kekal dan memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan.
- Menegaskan penghentian keganasan peneroka dan pemerkasaan institusi Palestin bagi kelangsungan kestabilan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pendirian itu disampaikan ketika beliau menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri (CFM) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi.
“Alhamdulillah, sebentar tadi telah menyampaikan kenyataan negara di Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri (CFM) OIC yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Malaysia turut menegaskan bahawa keganasan terhadap rakyat Palestin, pengembangan penempatan haram serta sebarang usaha untuk mengubah status dan identiti Al-Quds mesti dihentikan.
Dalam kenyataan itu, Malaysia turut menyeru agar gencatan senjata kekal dilaksanakan, bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan, keganasan peneroka dihentikan dan institusi Palestin terus diperkukuh.