Majlis Media Malaysia terima tujuh aduan salah laku

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching memberitahu Majlis Media Malaysia menerima tujuh aduan setakat ini. /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 April – Tujuh aduan diterima Majlis Media Malaysia (MMM) membabitkan pelbagai isu termasuk ketepatan laporan, penggunaan imej tanpa kebenaran serta kandungan yang menjejaskan keharmonian masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima aduan telah diselesaikan manakala dua lagi masih dalam proses semakan.
  • Semua aduan kini boleh disalurkan melalui platform rasmi MMM bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.
  • MMM mengendalikan aduan media; urusan siasatan dan pendakwaan kekal di bawah bidang kuasa PDRM dan Jabatan Peguam Negara.
  • Timbalan menteri menekankan saling menghormati antara pihak penguat kuasa dan pengamal media serta keperluan pengurusan aduan berkesan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu, lima aduan telah diselesaikan manakala dua lagi masih dalam proses semakan.

Menurut beliau, bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti, semua aduan kini boleh disalurkan melalui platform rasmi MMM.

“Saya menggalakkan orang ramai bahkan kerajaan untuk menggunakan platform yang disediakan oleh MMM supaya ia boleh menjadi platform yang membawa isu yang terkait dengan media kepada MMM dan saya percaya bahawa peranan yang dimainkan oleh MMM untuk terus menegakkan pelaporan bebas dalam masa sama masih kekal beretika dan bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita pada Persidangan Agung Konfederasi Wartawan ASEAN (CAJ) ke-21.

Ketika diminta mengulas mengenai aduan terhadap media akan dikendalikan sepenuhnya oleh MMM tanpa melibatkan tindakan jenayah, beliau menjelaskan bahawa urusan siasatan dan pendakwaan kekal bawah bidang kuasa pihak berkuasa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan terhadap sesuatu aduan sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara Malaysia bagi menentukan tindakan lanjut termasuk kemungkinan pendakwaan.

“Apa yang penting ialah wujudnya saling menghormati antara pihak penguat kuasa dan pengamal media supaya wartawan dapat menjalankan tugas dengan sewajarnya,” katanya.

Beliau turut merujuk insiden terdahulu melibatkan serbuan di sebuah premis karaoke di Cheras, di mana wartawan didakwa diminta memadam rakaman video, audio dan gambar oleh pihak polis.

“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku, namun saya menghargai tindakan pihak polis yang telah memohon maaf kepada pengamal media terlibat,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui terdapat kes laporan tidak beretika dalam kalangan media, dengan kebanyakan aduan diterima daripada orang awam.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan platform seperti MMM untuk meneliti dan mengurus aduan secara berkesan.