TLDM dijangka terima LCS1 ‘KD Maharaja Lela’ Disember depan

39 pegawai dan 154 anggota lain-lain pangkat menyertai Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-92 di KD Sri Gombak, hari ini

KUALA LUMPUR, 27 April – Kapal tempur pesisir pantai pertama (LCS1), KD Maharaja Lela dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Disember depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KD Maharaja Lela (LCS1) dijangka diserahkan kepada TLDM pada Disember depan.
  • LCS2 "Raja Muda Nala" dan LCS3 "Sharif Mashor" dijangka diterima pada April dan Disember 2027.
  • Pembinaan lima LCS capai 76.88% manakala tiga LMSB2 di Turkiye capai 47.9% ; TLDM beralih ke fasa pelaksanaan transformasi.

Manakala, kapal LCS2, ‘Raja Muda Nala’ dan LCS3, ‘Sharif Mashor’ masing-masing dijangka diterima pada April dan Disember 2027.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain berkata penyerahan kapal tersebut merupakan sebahagian usaha pemodenan aset dan rasionalisasi angkatan yang sedang giat dilaksanakan bagi memastikan kesiagaan TLDM sentiasa berada pada tahap tertinggi dan memenuhi keperluan operasi.

Jelas beliau, secara keseluruhan pembinaan lima kapal LCS di Lumut Naval Shipyard (Lunas) kini mencapai kemajuan keseluruhan 76.88 peratus.

“Sementara itu, pembinaan tiga kapal Kapal Misi Pesisir Fasa 2 (LMSB2) di Istanbul Shipyard, Turkiye turut menunjukkan kemajuan 47.9%.

“Kapal berkenaan dijangka diserahkan secara berperingkat mulai Oktober hingga Disember 2027, dengan majlis penamaan dan pelancaran dijadualkan pada Mei, Jun dan Ogos 2026′, katanya dalam perutusan yang dibacakan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Muhamad Shakir Salleh sempena Hari TLDM ke-92 di KD Sri Gombak di sini hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhan, TLDM kini beralih daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan tranformasi bagi memastikannya kekal sebagai benteng utama kedaulatan maritim negara.

Seramai 39 pegawai dan 154 anggota lain-lain pangkat menyertai Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-92 di KD Sri Gombak yang diketuai oleh Komander Ir. Ts. Mohd Faisal Mohd Razali.