Lawatan PM ke Maldives bawa kemajuan dalam hubungan dua hala

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu dalam sidang media bersama/ Facebook: Anwar Ibrahim

MALE, 16 September- Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Maldives menyaksikan pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU), cadangan penubuhan Suruhanjaya Bersama serta penerokaan peluang kerjasama dalam sektor tenaga, selain membincangkan beberapa isu dua hala dan serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan kerjasama tenaga, termasuk cadangan mendapatkan kepakaran PETRONAS dan kemungkinan kemudahan pinjaman bernilai AS$100 juta.
  • MoU pertahanan meliputi keselamatan maritim, latihan dan industri pertahanan, manakala MoU hal ehwal Islam merangkumi halal, dakwah, mufti, wakaf dan haji.
  • Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives bagi menyelesaikan isu tertangguh dan mengadakan mesyuarat bersama di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun.
  • Perbincangan isu serantau, termasuk kecaman terhadap keganasan di Gaza dan penegasan sokongan terhadap kemerdekaan serta kedaulatan Palestin.

Antara perkara yang akan diperhalusi ialah cadangan mendapatkan kepakaran Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bagi penerokaan minyak di republik kepulauan Lautan Hindi itu, selain kemudahan pinjaman bernilai AS$100 juta kepada Maldives.

“Saya perlu membincangkan perkara ini dengan PETRONAS. Saya percaya kekuatan PETRONAS kini di seluruh dunia, ” kata Perdana Menteri pada sidang media selepas pertemuan dengan Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu.

Dalam bidang pertahanan, MoU yang dimeterai merangkumi kerjasama keselamatan maritim, latihan dan industri pertahanan, manakala MoU hal ehwal Islam meliputi aspek halal, kerjasama dakwah, pengukuhan institusi mufti serta wakaf dan haji.

Pemeteraian kedua-dua MoU itu disaksikan Datuk Seri Anwar dan Dr Mohamed Muizzu di Pejabat Presiden Maldives.

Menurut Perdana Menteri, Maldives sebagai sebuah negara maritim dan Islam sentiasa memberi penekanan terhadap kerjasama yang berkait rapat dengan kedua-dua bidang berkenaan.

Lawatan itu turut menyaksikan cadangan Malaysia untuk mewujudkan Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives bagi membincangkan beberapa perkara yang masih tertangguh antara kedua-dua negara.

“Saya kemudian mencadangkan supaya Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldive dapat diwujudkan pada kadar segera. Beliau (Dr Mohamed Muizzu) akan meneliti kemungkinan mengadakan mesyuarat yang akan kita hoskan di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Antara perkara lain yang akan diperhalusi menerusi platform berkenaan ialah isu penjagaan kesihatan dan pendidikan rakyat Maldives yang berada di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu serantau dan antarabangsa termasuk perkembangan di Gaza dengan Malaysia dan Maldives mengecam penjajahan serta keganasan Israel terhadap rakyat Gaza.

Kedua-dua negara turut menegaskan sokongan terhadap kemerdekaan dan kedaulatan Palestin serta hak rakyatnya untuk menentukan masa depan sendiri.

Datuk Seri Anwar berlepas pulang ke tanah air pada Selasa selepas mengakhiri lawatan atas undangan Dr Mohamed Muizzu itu.

Lawatan berkenaan merupakan kunjungan sulung Datuk Seri Anwar ke Maldives sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives, Badli Hisham Adam.

Malaysia dan Maldives menjalin hubungan diplomatik sejak 1968.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.