Perkukuh perpaduan bersempena Hari Malaysia – Sultan Selangor

Foto FB Selangor Royal Office

SHAH ALAM, 16 September – Seluruh rakyat diseru terus memperkukuh perpaduan serta menghargai keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara bersempena sambutan Hari Malaysia, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan menyeru rakyat menyuburkan semangat toleransi dan saling menghormati tanpa mengira kaum, agama dan budaya.
  • Baginda mendoakan semangat kebersamaan memelihara kesejahteraan agar Malaysia kekal aman, makmur dan bersatu padu.
  • Sambutan 16 September diingat sebagai peringatan pembentukan Malaysia dan lambang perpaduan nasional menyatukan Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
  • Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri mengucapkan Selamat Menyambut Hari Malaysia 2026 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menyeru rakyat menyuburkan semangat toleransi dan sikap saling menghormati tanpa mengira kaum, agama dan budaya.

“Baginda sentiasa mendoakan agar semangat kebersamaan ini terus menjadi pegangan rakyat jelata dalam memelihara kesejahteraan negara agar Malaysia kekal aman, makmur dan bersatu padu untuk generasi kini serta akan datang,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin bertitah, sambutan pada 16 September setiap tahun adalah peringatan terhadap detik bersejarah pembentukan Malaysia.

“Baginda berharap agar tarikh penuh bermakna ini sentiasa dikenang sebagai lambang perpaduan nasional yang menyatukan seluruh rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam sebuah negara yang berdaulat,” menurut hantaran itu.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Malaysia 2026 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.