Laporan Tahunan JKmR 2025 diserah kepada PM sebelum dibentang di Parlimen

Mesyuarat JKmR Bil. 3 Tahun 2026 dipengerusikan oleh Pengerusi JKmR Datuk Adnan Abu Hassan, di ibu negara semalam./ JKmR

KUALA LUMPUR, 15 September – Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKmR) 2025 akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dibentangkan di Parlimen, selaras dengan peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

RINGKASAN BERITA AI
  • JKmR mengambil kira Ulasan LPPR 2025 mengenai pelaksanaan penguatkuasaan, pencegahan dan pengurusan SPRM selaras mandat semak dan imbang.
  • JKmR menyambut baik keputusan SPRM menggantung pemakaian baju oren bagi OKS dibawa ke mahkamah; baju lokap hanya dipakai semasa di lokap.
  • Penggunaan gari berdasarkan keadaan dan keperluan keselamatan; pengecualian bagi individu uzur, OKU, kanak-kanak dan warga emas dengan penilaian keselamatan.

JKmR dalam kenyataan memaklumkan laporan itu mengambil kira Ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tahun 2025 berhubung perjalanan fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Akta SPRM 2009, selain perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat JKmR Bilangan 3 Tahun 2026.

“Dalam mesyuarat berkenaan JKmR mengambil maklum Ulasan LPPR berhubung Laporan Tahunan SPRM Tahun 2025 dan perkara-perkara yang dibangkitkan, khususnya berkaitan status dan tindakan pelaksanaan penguatkuasaan, pencegahan serta pengurusan SPRM selaras dengan mandat semak dan imbang yang diberikan kepada JKmR,” menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Dalam perkembangan sama, JKmR menyambut baik keputusan SPRM yang berkuat kuasa serta-merta untuk menggantung pemakaian baju oren terhadap Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah bagi prosiding permohonan reman.

Menerusi keputusan itu, OKS dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, manakala pemakaian baju lokap hanya terpakai sepanjang tempoh mereka berada dalam tahanan di lokap.

JKmR turut mengambil maklum bahawa penggunaan gari adalah berdasarkan keadaan dan keperluan keselamatan bagi setiap kes.

“Pengecualian diberikan kepada individu yang uzur, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas, tertakluk kepada penilaian keselamatan yang bersesuaian.

“Pendekatan ini mencerminkan usaha berterusan untuk memastikan tatacara pengendalian siasatan dilaksanakan secara profesional, berhemah dan selaras dengan prinsip keadilan, tanpa menjejaskan keperluan keselamatan serta kelancaran proses siasatan,” menurut kenyataan itu lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.