
SELANGOR, 13 Januari – Lapan belia daripada keluarga B40 terpilih sebagai peserta program Biasiswa Hero-in-Auto dengan nilai keseluruhan RM115,000.
- Lapan belia B40 dipilih untuk program Biasiswa Hero-in-Auto bernilai RM115,000.
- Inisiatif Yayasan MBI dengan CARSOME Academy memperkasa belia kurang berkemampuan dalam automotif berkemahiran tinggi.
- Program sembilan bulan: tiga bulan teori, lima bulan latihan industri, satu bulan persediaan kebolehkerjaan.
- Majlis penyerahan biasiswa disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, disokong pemimpin MBI dan CARSOME.
Inisiatif Yayasan MBI bersama CARSOME Academy itu bertujuan memperkasa belia kurang berkemampuan dalam bidang automotif berkemahiran tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Ts. Saipolyazan M Yusop berkata, kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi memperkukuh peranan Selangor sebagai pusat pembangunan modal insan dan pertumbuhan ekonomi.
“Kerjasama ini juga bakal mengukuhkan visi bersama dalam pembinaan negara melalui pendidikan, kebolehkerjaan dan pertumbuhan inklusif.
“Ia sekali gus memperkasa generasi baharu untuk memacu masa depan sektor automotif dan teknikal negara,” katanya.
Program Biasiswa Hero-in-Auto selama sembilan bulan ini merangkumi tiga bulan pembelajaran teori di dalam kelas, lima bulan latihan praktikal industri serta satu bulan persediaan kebolehkerjaan sebelum diakhiri dengan penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia.
Penyerahan biasiswa tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Ts. Saipolyazan M Yusop serta Pengasas Bersama Kumpulan CARSOME dan Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Academy, Teoh Jiun Ee.