
LABUAN, 27 Januari– Wilayah Persekutuan Labuan perlu membangunkan identiti ekonomi tersendiri yang jelas bagi memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing di peringkat serantau dan global.
- Labuan perlu identiti ekonomi tersendiri untuk menarik pelabur berkualiti dan menjadi destinasi pelaburan serantau berdaya saing.
- Manfaatkan kelebihan strategik dalam kewangan antarabangsa, minyak dan gas, maritim serta logistik secara optimum.
- Perkukuh kerjasama kerajaan-swasta, perbaiki infrastruktur dan percepat pendigitalan serta penggunaan AI untuk kecekapan dan ketelusan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata kelebihan strategik Labuan dalam sektor perkhidmatan kewangan antarabangsa, minyak dan gas, maritim serta logistik perlu dimanfaatkan secara optimum.
Menurut beliau, penjenamaan yang kukuh bukan sahaja mampu menarik pelabur dan perniagaan berkualiti, malah meletakkan Labuan pada landasan lebih mampan sebagai hab ekonomi yang berdaya tahan, khususnya dalam konteks rantau BIMP-EAGA.
Dalam usaha menyokong pembangunan itu, kerajaan Persekutuan kekal komited menangani isu-isu utama yang menjejaskan pertumbuhan Labuan termasuk kekangan infrastruktur, kos sara hidup serta keperluan mempelbagaikan aktiviti ekonomi.
Tegasnya, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan sektor swasta merupakan faktor kritikal bagi merealisasikan aspirasi menjadikan Labuan sebagai pusat ekonomi moden yang inklusif dan mampan.
Seiring dengan itu, Perbadanan Labuan akan mempercepatkan pelaksanaan pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem penyampaian perkhidmatan bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan serta kemudahan menjalankan urusan perniagaan.
Langkah berkenaan selaras dengan agenda kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh ekosistem kerajaan digital, sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan keyakinan pelabur.
Datuk Lo berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam dan perjumpaan bersama Dewan Perniagaan Tionghua Labuan (LCCC), yang turut dihadiri Pengerusinya, Datuk Wong Kii Yii serta barisan kepimpinan dewan.
Dalam ucapannya, Datuk Wong menggesa kerajaan agar memberi perhatian serius terhadap isu-isu tempatan yang memberi kesan langsung kepada ekonomi Labuan, termasuk keperluan pembangunan infrastruktur yang lebih sistematik bagi menyokong pembangunan sosial dan ekonomi jangka panjang.