
ALOR SETAR, 3 Mac – 140 jemaah umrah masih terkandas di Madinah susulan konflik antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran di Asia Barat hingga menjejaskan sistem penerbangan udara.
- 140 jemaah umrah masih terkandas di Madinah akibat konflik Amerika Syarikat-Israel dan Iran menjejaskan penerbangan udara.
- Semua jemaah ditempatkan di hotel sekitar Madinah dalam keadaan selamat dengan kebajikan dijaga.
- Dhia Travel sedang runding dengan AirAsia untuk laluan penerbangan alternatif; dijangka berlepas terus ke KLIA selewat-lewatnya 5 Mac.
- Syarikat tanggung kos penginapan, makanan dan tiket; mutawif beri motivasi dan kaunseling untuk kurangkan kebimbangan jemaah.
Ketika ini, kesemua jemaah ditempatkan di hotel sekitar Madinah dan berada dalam keadaan selamat.
Pengarah Urusan Dhia Travel Sdn Bhd, Mohd Hidayat Mohammad ketika dihubungi RTM berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memastikan semua jemaah terbabit dapat pulang ke tanah air secepat yang mungkin.
“Perbincangan dan rundingan sedang dilakukan bersama syarikat penerbangan AirAsia bagi mendapatkan laluan penerbangan alternatif yang selamat dan tidak terjejas dengan situasi semasa,” katanya.
Beliau berkata, mereka dijangka menaiki penerbangan dari Madinah terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA selewat-lewatnya pada 5 Mac ini.
Jelas beliau, mengikut jadual tiga kumpulan jemaah berkenaan sepatutnya kembali ke tanah air pada 28 Februari dan semalam dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) yang mengalami kerosakan dipercayai akibat serangan peluru berpandu.
Katanya sepanjang di Madinah, kebajikan, keselamatan dan keselesaan jemaah sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya akan menanggung sepenuhnya kos penginapan, makanan dan tiket penerbangan balik.
“Pihak mutawif yang dilantik juga memberi motivasi dan khidmat kaunseling bagi memastikan mengurangkan kebimbangan dan trauma para jemaah susulan kejadian tersebut,” katanya.
Ujar beliau, satu lagi kumpulan jemaah seramai 48 orang masih berada di Madinah dan dijadual pulang ke tanah air pada 4 Mac ini.
Sebarang perkembangan terkini berkaitan tarikh kepulangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui laman sosial facebook rasmi syarikat itu.