Pemilikan Aurus oleh Sultan Ibrahim lambang persahabatan kukuh Malaysia-Rusia

Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Pemilikan Limosin Aurus Senat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim disifatkan sebagai satu penghormatan istimewa melambangkan hubungan erat serta persahabatan kukuh antara Malaysia dan Persekutuan Rusia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Model jarang dimiliki di luar Persekutuan Rusia dan tidak dieksport secara meluas.
  • Aurus jenama rasmi kepimpinan Rusia, kerap digunakan Presiden Vladimir V Putin dalam acara rasmi negara.
  • Dikenali kerana gabungan teknologi moden serta ciri keselamatan bertaraf tinggi.
  • Seri Paduka berangkat ke Muzium Garaj Khas; majlis serahan Aurus diadakan dan baginda menerima taklimat mengenai koleksi kenderaan.

Menurut perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, model berkenaan juga jarang dimiliki di luar Persekutuan Rusia dan tidak dieksport secara meluas ke pasaran antarabangsa.

Aurus merupakan jenama kenderaan rasmi kepimpinan tertinggi Persekutuan Rusia dan sering digunakan oleh Presiden Rusia Vladimir V Putin dalam acara rasmi negara serta majlis diplomatik penting.

“Aurus terkenal dengan gabungan teknologi moden serta ciri keselamatan bertaraf tinggi”, menurut hantaran itu.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Muzium Garaj Khas yang menempatkan himpunan lebih 50 kereta dan motosikal di Moscow pada hari ini (10 Mei).

Pada lawatan berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai koleksi-koleksi yang dipamerkan di muzium itu.

Majlis serahan Limosin Aurus Senat milik Seri Paduka Baginda turut berlangsung di muzium berkenaan.

Terdahulu, Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim ke Muzium Garaj Khas disambut oleh Timbalan Menteri Pertama Industri dan Perdagangan Persekutuan Rusia Kirill Alekseevich Lysogorsky, Pengarah Muzium Belikov AV, dan Ketua Pegawai Eksekutif NAMI Nazarov FL.