
SEPANYOL, 10 Mei – Sebuah pesawat Sepanyol yang membawa 14 rakyat negara itu yang dipindahkan dari sebuah kapal persiaran susulan kes hantavirus, berlepas dari Tenerife menuju ke Madrid.
- Penumpang tanpa gejala akan diterbangkan pulang menggunakan pesawat tentera dan ditempatkan di hospital untuk kuarantin.
- Pihak berkuasa menegaskan tiada kontak dengan orang awam sepanjang proses pemindahan.
- Rakyat dipindahkan dari kapal persiaran menggunakan bot kecil secara berperingkat, dibawa ke daratan dan dihantar ke lapangan terbang.
Menurut pegawai kerajaan, kesemua penumpang yang tidak menunjukkan sebarang gejala virus itu akan diterbangkan pulang ke Madrid menggunakan pesawat tentera sebelum dibawa ke hospital untuk menjalani kuarantin.
Pihak berkuasa turut menegaskan bahawa mereka tidak akan mempunyai sebarang kontak dengan orang awam sepanjang proses tersebut.
Rakyat Sepanyol menjadi kumpulan pertama dipindahkan dari kapal persiaran mewah itu menggunakan bot kecil secara berperingkat dalam kumpulan lima orang sebelum dibawa ke daratan dan dihantar menaiki bas ke lapangan terbang tempatan.
Kapal persiaran itu berlepas menuju ke Sepanyol pada Rabu lalu dari pesisir Cape Verde selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kesatuan Eropah meminta negara itu menguruskan operasi pemindahan penumpang susulan pengesanan wabak hantavirus di atas kapal berkenaan.
Beberapa negara termasuk Belgium, Perancis, Jerman, Ireland, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Belanda turut mengesahkan penghantaran pesawat untuk membawa pulang rakyat masing-masing yang berada di atas kapal tersebut.
Bagaimanapun, pegawai kerajaan tempatan di Kepulauan Canary memaklumkan tidak semua pesawat berkenaan tiba setakat pagi Ahad.- REUTERS