
BUKIT MERTAJAM, 10 Mei -Hampir 2,000 usahawan India diseluruh negara menikmati pembiayaan bernilai RM 70 juta menerusi Pakej Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India 2026 (MUDRA).
- Dana keseluruhan RM220 juta diperuntuk bagi memperkasakan usahawan kaum India melalui Pakej MUDRA.
- MAICCI bersama agensi KUSKOP menganjurkan karnival dan sesi libat urus, membuka ruang jaringan, khidmat nasihat serta peluang pembiayaan kepada PMKS tempatan.
- Penerima pembiayaan memuji TEKUN Nasional; bantuan membolehkan pengembangan perniagaan dalam bidang kecantikan, kesihatan dan perniagaan makanan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada dana keseluruhan yang berjumlah RM220 juta bagi membantu memperkasakan usahawan kaum India yang baru diperkenalkan tahun ini.
“Setakat hari ini, daripada jumlah RM220 juta yang diperuntukkan, sebanyak RM70 juta pembiayaan telah diluluskan kepada hampir 2,000 usahawan India di seluruh negara. Saya berharap lebih ramai usahawan India akan tampil mengambil bahagian dalam program MUDRA, iaitu program di bawah Power Up 10 Thousand, bagi merancakkan serta membantu perkembangan perniagaan rakyat Malaysia,”katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Jualan serta Sesi Libat Urus Usahawa Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) bersama agensi-agensi KUSKOP bersempena dengan sambutan Hari Ibu, di sini.
Program yang dianjurkan oleh MAICCI itu menghimpunkan kira-kira 30 usahawan tempatan dengan 10 reruai agensi di bawah KUSKOP mengambil bahagian bagi membuka ruang jaringan, khidmat nasihat serta peluang pembiayaan kepada PMKS setempat.
Sementara itu, pada majlis sama Steven Sim turut menyampaikan cek cura kepada tiga usahawan yang menerima pembiayaan mikro menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) bawah TEKUN Nasional.
Mereka yang menerima pembiayaan tersebut menyatakan rasa gembira dan syukur dan akan digunakan bagi meningkatkan perniagaan mereka.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada TEKUN Nasional kerana membiayai perniagaan saya. Saya menjalankan perniagaan dalam bidang kecantikan dan kesihatan, iaitu spa dan yoga. Melalui pembiayaan ini, saya dapat meningkatkan keuntungan perniagaan saya. Sebagai seorang belia, pembiayaan ini amat membantu saya. Terima kasih banyak-banyak,” kata usahawan S. Vengadeswary.
“Saya menjual capati dan tosai di Tambun Market. Saya mendapat pembiayaan daripada TEKUN untuk membesarkan perniagaan saya. TEKUN banyak membantu saya dalam mengembangkan bisnes ini, dan bantuan yang diberikan amat bermakna kepada saya,” kata usahwan N. Amutha.