
PUTATAN, 10 Mei – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp memperuntukkan lebih RM1.5 juta bagi memperkasa usahawan belia Bumiputera di Sabah.
- Program TUBE-S membantu perusahaan mikro berkembang ke peringkat kecil dan sederhana melalui inisiatif pembiayaan dan bimbingan.
- Seramai 102 peserta menerima geran perniagaan RM15,000 seorang untuk membantu pengembangan dan automasi perniagaan masing-masing.
- Peserta melaporkan peningkatan kemahiran perakaunan, pengurusan, pemasaran dan penggunaan teknologi termasuk amalan ESG.
Ia dilaksanakan menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera Skala (TUBE-S).
Seramai 102 peserta menerima geran perniagaan sebanyak RM15,000 seorang bagi membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, program itu bertujuan membantu perusahaan mikro berkembang ke tahap lebih tinggi.
“Kita bantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Kita tidak mahu mereka kekal pada tahap mikro sahaja. Kita mahu mereka ‘scale up’ kepada peringkat kecil dan seterusnya ke tahap sederhana,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Program TUBE-S di Putatan.
Peserta turut menyifatkan program tersebut membantu meningkatkan kemahiran pengurusan, pemasaran dan pengembangan perniagaan secara lebih sistematik.
“Untuk usahawan-usahawan muda, program ini memang sangat membantu kerana banyak ilmu yang saya peroleh, khususnya cara untuk mengembangkan perniagaan secara sistematik dan automasi. Ia sangat berkesan,” kata peserta, Mohamad Shahrizal Mohd Sapre.
“Kami belajar tentang perakaunan yang sebelum ini kami tidak tahu ia sangat penting. Selain itu, kami juga didedahkan dengan cara mengembangkan perniagaan dalam dunia teknologi, termasuk penggunaan ESG dan sebagainya,” kata peserta, Sitinor Amelina Moh Ayub.