Kiraan detik ‘Break The Silence’ perkukuh tekanan global bebaskan Gaza

Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) melancarkan kiraan detik bagi memulakan gelombang “Break the Silence” dan “Break the Siege” sebagai usaha menyatukan solidariti global / BERNAMA

SEPANG, 4 Mei – Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) hari ini memulakan kiraan detik pelancaran gelombang kedua Misi Pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) bagi memperhebat usaha solidariti antarabangsa terhadap Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menggandakan tekanan dan memperkukuh gerakan global bagi pembebasan Gaza.
  • Mengajak seluruh negara bersatu untuk menggandakan usaha solidariti antarabangsa bagi Gaza.
  • Sokongan berterusan OIC dan PBB menguatkan legitimasi usaha GSF dan menegaskan perlu diteruskan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pelancaran itu bertujuan menggandakan tekanan serta memperkukuh gerakan global dalam memperjuangkan pembebasan wilayah berkenaan.

“SNCC melancarkan kiraan detik bermula saat ini untuk gelombang ”Break the Silence” dan ”Break the Siege”, bagi seluruh negara bangkit bersatu dan menggandakan usaha memperkukuh gerakan ke arah pembebasan Gaza,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan misi berkenaan turut menerima sokongan berterusan daripada kepimpinan dunia termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Menurutnya, sokongan tersebut menjadi petunjuk bahawa perjuangan serta usaha melalui GSF wajar diteruskan bagi memastikan suara kebebasan Gaza terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.