Misi bantuan darat 30 kontena ke Gaza diteruskan walau laluan berisiko

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (kiri) pada sidang media khas mengenai perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 di SNCC hari ini / BERNAMA

SEPANG, 4 Mei – Misi bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi laluan darat melibatkan 30 kontena akan diteruskan meskipun berdepan cabaran laluan krisis serta keperluan pematuhan protokol ketat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Misi ini kesinambungan usaha sebelumnya yang berjaya menghantar 100 kontena, termasuk kira-kira 40,000 makanan dalam tin pada Ramadan lalu.
  • Bantuan kali ini berjumlah sekitar 374 tan, disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan penyumbang lain.
  • Pergerakan misi sedang diatur; maklumat lanjut serta taklimat di Rafah akan dimaklumkan selepas pelaksanaan.
  • Malaysia satu-satunya negara memberikan pengiktirafan rasmi terhadap misi; Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai penaung.

Menteri Besar Selangor yang juga Menteri Penaung Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF2.0), Datuk Seri Amirudin Shari berkata, misi berkenaan merupakan kesinambungan kepada usaha terdahulu yang berjaya menghantar 100 kontena bantuan, termasuk kira-kira 40,000 makanan dalam tin pada Ramadan lalu.

“Kali ini melibatkan 30 kontena dengan jumlah sekitar 374 tan, yang disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Selangor serta penyumbang lain bagi melengkapkan sokongan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Amirudin, pergerakan misi itu sedang diatur dan maklumat lanjut termasuk sidang media atau taklimat di Rafah akan dimaklumkan selepas pelaksanaan selesai.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia setakat ini merupakan satu-satunya negara yang memberikan pengiktirafan rasmi terhadap misi bantuan ke Gaza selaku sebuah negara, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertindak sebagai penaung kepada inisiatif Sumud Nusantara.

Tambah beliau, kerajaan akan terus memberikan sokongan padu terhadap pengorbanan aktivis yang sanggup berdepan risiko dalam menjayakan misi GSF2.0 tersebut.