
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Rangkaian pasar raya global, Lulu Hypermarket menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi memasarkan produk halal Malaysia ke pasaran antarabangsa berkuatkuasa awal Julai ini.
- Kerjasama Lulu–MARA menyasarkan nilai eksport melebihi RM400 juta.
- Zahid menasihatkan Lulu supaya tidak berlengah dan bekerjasama dengan MARA bagi pembelian produk halal negara.
- Produk halal Malaysia akan dipasarkan oleh Lulu ke pasaran dunia, khususnya di Asia Barat.
- Pelaksanaan diselaraskan antara MARA dan wakil Lulu di Malaysia bagi menembusi rangkaian runcit global, memberi peluang kepada usahawan Bumiputera.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu menyasarkan nilai eksport melebihi RM400 juta.
“Beliau telah memberikan komitmen kepada Perdana Menteri dan saya bahawa beliau merancang untuk membeli produk-produk halal dari negara ini bernilai AS$100 juta iaitu lebih daripada RM400 juta.
“Saya telah menyatakan kepada beliau di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak berlengah, sebaliknya bekerjasama dengan MARA bagi pembelian produk-produk halal ini untuk pasaran dunia.
“Untuk kita memasarkan produk-produk halal yang akan dipasarkan oleh Lulu Supermarket di seluruh dunia, khususnya di Asia Barat. Beliau menyatakan hasrat untuk melaksanakannya bermula 1 Julai tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Ekosistem Halal MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di ibu negara.
Baru-baru ini satu persetujuan dicapai bersama pemilik Lulu Hypermarket, Syeikh Yousuf Ali ketika kunjungan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus dilihat sebagai potensi lebih luas kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran global, khususnya di Asia Barat.
Pelaksanaan kerjasama itu akan diselaraskan segera antara MARA dan wakil syarikat berkenaan di Malaysia bagi memastikan produk halal Bumiputera dapat menembusi rangkaian runcit global secara lebih tersusun.