
KUALA LUMPUR, 5 Mei– Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengakui keputusan ‘scratch pair’ gandingan beregu lelaki ketika aksi terakhir kumpulan menentang Jepun dalam Piala Thomas 2026 bukan satu langkah mudah, namun dibuat demi kepentingan pasukan.
- Gandingan Aaron-Soh dipisahkan selepas menilai keadaan pemain dan keperluan taktikal.
- Man Wei Chong tidak bersedia bermain kerana kesakitan pada bahagian kaki, memaksa penyusunan semula beregu.
- Aaron dan Tee Kai Wun bangkit menewaskan pasangan Jepun selepas tewas set pertama.
- Malaysia tewas 0-3 kepada China, menamatkan impian meraih Piala Thomas selepas 34 tahun.
Beliau berkata keputusan memisahkan pasangan utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dilakukan selepas mengambil kira keadaan semasa pemain serta keperluan taktikal ketika itu.
“Memang itu keputusan pasukan. Kami berbincang bersama barisan jurulatih dan pemain, dan apa yang diputuskan adalah yang terbaik berdasarkan situasi semasa.
“Kita sudah cuba yang terbaik. Dalam perlawanan seperti ini, apa sahaja boleh berlaku sama ada menang atau kalah, tetapi ketika itu itulah kombinasi paling bersedia yang kita ada,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan faktor kecergasan pemain menjadi antara sebab utama perubahan gandingan, khususnya apabila ada pemain yang tidak berada pada tahap optimum.
“Man Wei Chong memaklumkan dia belum bersedia untuk bermain kerana mengalami kesakitan pada bahagian kaki. Jadi kami perlu menyusun semula pasangan beregu untuk memberi peluang terbaik kepada pasukan,” katanya.
Dalam aksi itu, Malaysia menutup kempen Kumpulan B dengan kekalahan 2-3 kepada Jepun, namun layak ke suku akhir selaku naib juara kumpulan.
Gandingan Aaron bersama Tee Kai Wun ketika itu mempamerkan aksi cemerlang apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 16-21, 21-14, 21-19.
Namun, pasangan Nur Izzuddin Rumsani yang digandingkan bersama Wooi Yik gagal menyumbang mata selepas tewas 21-14, 19-21, 19-21 kepada Takumi Nomura-Yuichi Shimogami.
Impian Malaysia untuk menamatkan kemarau 34 tahun menjulang trofi Piala Thomas akhirnya ‘terkubur’ selepas tewas 0-3 kepada China.
Kekalahan bermula dengan Leong Jun Hao yang tewas kepada Shi Yu Qi 10-21, 21-16, 9-21, diikuti Aaron-Wooi Yik yang kecundang di tangan Liang Wei Keng-Wang Chang 22-24, 14-21.
Penutup aksi menyaksikan Justin Hoh dikecewakan oleh Li Shi Feng 14-21, 13-21. -BERNAMA