Kewangan Sosial Islam berpotensi jadi ‘kuasa ketiga’ ekonomi negara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Ekosistem Kewangan Sosial Islam perlu berfungsi sebagai ‘kuasa ketiga’ yang melangkaui pendekatan bantuan kepada golongan yang memerlukan, sekali gus berperanan sebagai instrumen pemerkasaan pertumbuhan dan penjanaan ekonomi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama strategik antara agensi kerajaan, universiti dan sektor swasta untuk inovasi dan pengarusperdanaan Kewangan Sosial Islam.
  • JAWHAR menerajui usaha memperkemas tadbir urus dan profesionalisme NGO Islam melalui bimbingan dan latihan komprehensif.
  • Multaqa 2026 menghimpunkan agensi agama, institusi kewangan Islam, akademik dan syariah untuk dialog dan perkongsian amalan.
  • Pelancaran Laporan Kewangan Sosial Islam 2026 sebagai rujukan perkembangan, cabaran dan peluang bagi pemegang taruh industri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, potensi berkenaan boleh direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara agensi kerajaan, universiti dan pihak swasta.

“Dengan kerjasama antara agensi kerajaan, universiti dan juga pihak swasta, kita akan meneroka peluang kerjasama dan inovasi serta daya cipta yang baharu untuk memperkukuhkan lagi dan mengarusperdanakan Kewangan Sosial Islam supaya ia menjadi sama seperti segmen yang lain yang diarusperdanakan di Malaysia.

“Barangkali kita boleh bawa ke peringkat serantau dan juga dunia,” katanya kepada media selepas merasmikan Multaqa Shariah Intellectual Discourse in Islamic Social Finance 2026 (Multaqa 2026) di ibu negara.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berkata Jabatan Zakat, Wakaf dan Haji (JAWHAR) kini bertindak sebagai peneraju dalam usaha memperkemas tadbir urus dan profesionalisme dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Usaha berkenaan dilaksanakan menerusi pemberian bimbingan serta latihan secara komprehensif bagi memperkukuh keupayaan dan pengurusan organisasi terbabit.

Persidangan anjuran Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bersama CoEISF ISRA Institute – INCEIF University itu menghimpunkan wakil daripada 14 Majlis Agama Islam Negeri, Jawatankuasa Fatwa, kementerian, institusi kewangan Islam serta golongan akademik dan syariah.

Pada majlis sama, turut dilancarkan Laporan Kewangan Sosial Islam 2026 yang mengetengahkan perkembangan, cabaran dan potensi sektor berkenaan sebagai rujukan kepada institusi, pemain industri, ahli akademik serta pemegang taruh berkaitan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.