Laporan RCI Tabung Haji perlu jadi iktibar perkukuh kewangan sosial Islam

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja Tabung Haji (RCI TH) perlu dijadikan iktibar bagi memastikan kewangan sosial Islam terus diyakini dan berperanan sebagai ‘kuasa ketiga’ dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tegasan Dr Zulkifli: kelemahan tadbir urus dan integriti boleh menjejaskan keyakinan masyarakat dan imej Islam.
  • Perlu beri perhatian aspek tadbir urus dan integriti selari usaha memperkasa serta mengarusperdanakan kewangan sosial Islam.
  • JAWHAR menerajui pemerkasaan tadbir urus dan profesionalisme NGO Islam melalui bimbingan, latihan komprehensif dan kerjasama strategik.
  • Multaqa 2026 dan Laporan Kewangan Sosial Islam 2026 jadi rujukan bagi pemegang taruh tentang perkembangan, cabaran dan potensi sektor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan menegaskan, kelemahan serta kepincangan dalam tadbir urus organisasi kewangan Islam boleh menjejaskan keyakinan masyarakat, selain dibimbangi memberi kesan terhadap imej Islam.

Beliau berkata, aspek tadbir urus dan integriti perlu diberi perhatian seiring usaha memperkasa serta mengarusperdanakan kewangan sosial Islam.

“RCI telah pun menunjukkan antara punca utama kepada kegagalan dan kelemahan adalah disebabkan tatakelola serta integriti.

“Jika kita memperbesarkan dan mengarusperdanakan (kewangan sosial Islam), tetapi kita lupa untuk menangani dari sudut tatakelola dan integriti, ia akan menjadi fitnah kepada Islam itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Multaqa Shariah Intellectual Discourse in Islamic Social Finance 2026 (Multaqa 2026) di ibu negara.

Dalam pada itu, Jabatan Zakat, Wakaf dan Haji (JAWHAR) kini bertindak sebagai peneraju usaha memperkemas tadbir urus dan profesionalisme dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Usaha berkenaan dilaksanakan menerusi pemberian bimbingan dan latihan secara komprehensif, selain mempergiat kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi memperkukuh sektor kewangan sosial Islam.

Multaqa 2026 menghimpunkan wakil daripada 14 Majlis Agama Islam Negeri, Jawatankuasa Fatwa, kementerian, institusi kewangan Islam serta golongan akademik dan pakar syariah.

Pada majlis sama, turut dilancarkan Laporan Kewangan Sosial Islam 2026 yang mengetengahkan perkembangan, cabaran dan potensi sektor berkenaan.

Laporan itu menjadi rujukan kepada institusi, pemain industri, ahli akademik serta pemegang taruh dalam usaha memperkukuh ekosistem kewangan sosial Islam di negara ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.