NXP perluas kemudahan A&T di Petaling Jaya, perkasa ekosistem semikonduktor

Foto RTM

PETALING JAYA, 12 Ogos – Sektor semikonduktor negara terus diperkukuh apabila NXP Semiconductors memperluas kemudahan pemasangan dan pengujian (A&T) miliknya di Petaling Jaya dengan penambahan kira-kira 500,000 kaki persegi bagi ruang pengeluaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaburan mencerminkan keyakinan syarikat global terhadap tenaga kerja, ekosistem pembuatan dan keupayaan Malaysia menyokong operasi berteknologi tinggi.
  • Malaysia bergerak ke arah rantaian nilai lebih tinggi termasuk reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan perkakasan kecerdasan buatan.
  • NXP menyumbang kepada asas teknologi ekonomi digital dan berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
  • Kemudahan A&T NXP meningkat kepada kira-kira 900,000 kaki persegi; pengeluaran dijangka meningkat pada suku pertama 2028 dan output lebih dua kali ganda.

Menteri Digital, Gobind Singh berkata pelaburan tersebut sekali gus mencerminkan keyakinan syarikat teknologi global terhadap tenaga kerja, ekosistem pembuatan dan keupayaan Malaysia menyokong operasi berteknologi tinggi.

Tambah beliau, Malaysia kini bergerak ke arah rantaian nilai lebih tinggi dalam industri semikonduktor termasuk reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan perkakasan kecerdasan buatan.

Selain itu katanya NXP Semiconductors turut menyumbang kepada asas teknologi ekonomi digital negara sekali gus berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Bagaimanapun, teknologi dan peralatan sahaja tidak akan menentukan kejayaan pelaburan ini. Justeru, melahirkan pekerja berkemahiran tinggi amat penting.

“Saya mengambil peluang ini untuk menggalakkan NXP untuk terus mengembangkan pelaburan seperti ini. Ia termasuk membuka lebih banyak ruang dan kerjasama kepada pelajar, graduan dan pekerja sedia untuk melatih kemahiran mereka dalam sektor ini,” katanya.

Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dicadangkan untuk kerjasama tersebut ialah Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Monash University Malaysia.

Sementara itu, Gobind berkata penambahan tersebut meningkatkan keluasan kemudahan A&T milik NXP kepada kira-kira 900,000 kaki persegi bagi ruang pengeluaran.

“Pengeluaran dijangka akan mula meningkat pada suku pertama 2028.

“Manakala output keseluruhan tapak diunjur meningkat lebih dua kali ganda apabila beroperasi sepenuhnya,” katanya lagi.

Ketika ini, Malaysia merekodkan RM 92.8 bilion pelaburan diluluskan pada suku pertama tahun ini dengan pelaburan asing menyumbang RM56.2 bilion atau 60.5 peratus daripada jumlah itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah NXP Malaysia di sini, yang turut dihadiri Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.