Kestabilan, kemajuan dan kemakmuran: N.Sembilan fokus beri khidmat terbaik kepada rakyat

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 14 Ogos – Pentadbiran baharu Negeri Sembilan akan berpaksikan tiga tunjang utama dalam memberikan khidmat kepada rakyat iaitu memastikan kestabilan, kemajuan dan kemakmuran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memelihara kestabilan institusi Raja Berperlembagaan dan adat, pentadbiran profesional serta dasar yang memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur.
  • Memacu kemajuan dengan mencipta peluang, menarik pelaburan berkualiti, menyediakan pekerjaan bernilai tinggi dan melahirkan modal insan berdaya saing.
  • Menghasilkan kemakmuran nyata melalui pembangunan yang dirasai rakyat serta kerjasama penjawat awam dan masyarakat untuk masa depan lebih baik.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, kestabilan bukan sekadar merujuk kepada kerajaan yang mempunyai majoriti sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya turut merangkumi kestabilan institusi Raja Berperlembagaan dan institusi adat yang menjadi payung negeri.

“Di bawah pentadbiran baharu ini, kerajaan negeri akan berpaksikan tiga tunjang utama dalam memberikan khidmat kepada rakyat yakni memastikan kestabilan, kemajuan dan kemakmuran yang seterusnya akan menjadi kompas kepada pentadbiran ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan 2026 di sini.

Beliau berkata, kestabilan melibatkan institusi Raja Berperlembagaan dan institusi adat, pentadbiran yang profesional serta dasar yang memberi keyakinan kepada rakyat, pelabur dan dunia perniagaan.

“Kemajuan pula meliputi usaha mencipta peluang, menarik pelaburan berkualiti, menyediakan pekerjaan bernilai tinggi serta melahirkan modal insan yang berdaya saing, manakala kemakmuran diterjemahkan melalui hasil pembangunan yang dapat dirasai rakyat dalam kehidupan seharian,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Ismail berkata negeri yang maju bukan sahaja diukur melalui angka pertumbuhan tetapi melalui keupayaan mencipta peluang, menarik pelaburan berkualiti, menyediakan pekerjaan bernilai tinggi serta melahirkan modal insan yang berdaya saing.

“Dengan kerjasama seluruh penjawat awam dan rakyat Negeri Sembilan, negeri ini mampu dibangunkan menjadi lebih hebat untuk generasi hari ini dan akan datang,” tegasnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.