
SEPANG, 1 November- Pelumba muda negara, Qabil Irfan bersyukur menamatkan Perlumbaan 2 pusingan kelima Moto4 Asia Cup di tempat kelima meskipun berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan tetapan jenteranya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, hari ini.
- Qabil mengakui pilihan tetapan motosikal berbeza berbanding sesi kelayakan dan menerima tanggungjawab terhadap keputusan itu.
- Perlumbaan dianggap pengalaman penting untuk meningkatkan keupayaan menyesuaikan diri dengan jentera dan litar.
- Bercita-cita ke Moto3, beliau akan terus bekerja keras; umur 14 tahun memberi masa untuk menimba pengalaman sebelum layak.
Qabil Irfan, 14, berkata beliau kurang selesa dengan tetapan jentera sepanjang perlumbaan susulan kesilapan yang dilakukannya sendiri, namun tetap berusaha memberikan aksi terbaik hingga ke garisan penamat.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat menamatkan perlumbaan hari ini di tempat kelima. Saya kurang selesa dengan tetapan motosikal susulan kesilapan yang dilakukan, namun tetap berusaha memberikan yang terbaik hingga ke garisan penamat,” katanya.
Beliau mengakui pilihan tetapan motosikal yang dibuatnya berbeza berbanding sesi kelayakan dan menerima perkara itu sebagai tanggungjawabnya.
Qabil Irfan turut menyifatkan perlumbaan di Sepang sebagai pengalaman penting untuk meningkatkan keupayaannya menyesuaikan diri dengan jentera dan litar.
Mengulas impiannya untuk melangkah ke Kejuaraan Dunia khususnya kategori Moto3, Qabil Irfan berkata beliau akan terus bekerja keras dan memanfaatkan masa yang ada untuk menimba pengalaman.
“Kalau ikut peraturan, masih lama lagi untuk ke Moto3 sebab sekarang saya baru berusia 14 tahun, manakala umur minimum untuk ke Moto3 ialah 18 tahun. Jadi, masih banyak masa untuk saya belajar dan menimba pengalaman,” katanya.
Dalam keputusan Perlumbaan 2, pelumba Jepun, Hayato Chishiki, muncul juara diikuti Bintang Pranata dari Indonesia di tempat kedua, manakala seorang lagi pelumba Indonesia, Resky Yusuf, melengkapkan podium di tempat ketiga.